MOHD Asri. FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersetuju penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya tetapi mestilah dilakukan dengan bersyarat.

Mohd Asri berkata, antara syarat utamanya adalah mesti diadakan satu dialog harmoni antara Zakir dengan wakil kumpulan atau pihak yang menggesa pendakwah dari India itu pulang ke negara asalnya.

Menurutnya, alasan yang diberikan pihak tertentu untuk menghalaunya keluar tidak kukuh dan konkrit disamping Zakir tidak pernah meminta hadiri sesuatu majlis untuk memukul hadirin yang lainnya secara fizikal selepas majlisnya tamat.

“Kalau nak halau dia hanya kerana dia bukan warganegara, saya percaya ramai lagi pendakwah atau guru agama lain yang tinggal di pusat agama mereka dalam negara ini adalah terdiri daripada bukan warganegara, KDN (Kementerian Dalam Negeri) lebih tahu itu.

“Saya percaya kerajaan baharu menggalakkan rakyatnya berdialog kononnya inilah negara yang rakyatnya adalah berpemikiran matang.

“Kenapa tidak dianjurkan satu dialog antara Zakir dengan mereka yang tidak berpuas hati dengan seperti dialog antara beliau bersama M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia).

“Jika Zakir kalah, I’m will be the first to tell Zakir Naik to get out from this country (Saya akan menjadi orang pertama meminta Zakir tinggalkan negara ini).

“Begitu juga dengan Kulasegaran jika dia kalah, dia perlu pertimbangkan ke mana dia mahu pergi selepas itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Malaysia Reverts Camp di lobi Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, hari ini.


MOHD Asri (dua dari kiri) bersama pendakwah ketika ditemui Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis selepas Majlis Penutupan Malaysia Reverts Camp. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Ketika ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Agama, Datuk Mujahid Yusuf Rawa mengenai Zakir, dia enggan mengulas lanjut dan tetap dengan pendiriannya agar dianjurkan satu dialog secara harmoni dan keputusannya dinilai berdasarkan hujah antara mereka di dalam dialog itu.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengeluarkan petisyen agar Persekutuan Persatuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diharamkan, Mohd Asri nyata bersetuju dengan idea dan tindakan kumpulan terbabit.

Sebelum ini, dua Menteri Kabinet Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran mahu Zakir tidak lagi dibenarkan mengada ceramah serta mengeluarkan sebarang kenyataan serta Zakir didesak pelbagai pihak untuk pulang ke negara asalnya.

Sehingga kini lebih 100 laporan polis dibuat berkaitan Zakir dan polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 4:15 PM