ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di bawah flat berikutan letupan yang berlaku. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


“SAYA dengar letupan kuat dan nampak jiran keluar rumah dalam keadaan rambut serta badannya terbakar,” kata wanita mahu dikenali sebagai Dewi, 30-an, menceritakan letupan di tingkat 20 Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong, Georgetown, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian itu dia sedang menonton televisyen di rumahnya di tingkat 21, tersentak apabila bunyi letupan dan segera meninjau ke luar rumah.

Katanya, dia meninjau melalui tingkap dan terkejut apabila mendapati dinding rumah jiran runtuh dan jirannya berlari dalam keadaan terbakar.

“Ketika itu, saya hanya mampu menjerit supaya ada yang membantu memadam api pada jiran kerana ramai yang lebih sibuk merakam gambarnya,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.


DINDING sebahagian pangsapuri runtuh akibat letupan di Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong, Ahad lalu. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Dalam kejadian 8 pagi itu, Lee Kok Eang, 62, melecur 80 peratus di badan manakala, anak lelaki, menantu dan cucunya tidak mengalami kecederaan selepas berlaku letupan dipercayai akibat kebocoran gas.

Sementara itu, anak Kok Eang, Lee Chye Soon, 38, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta anak sedang tidur di dalam bilik, manakala bapanya berada di ruang tamu.

“Saya dengar bunyi letupan kuat dan sebaik keluar melihat bapa cedera dengan pemetik api dan rokok berada berhampirannya.

“Memang ada bau gas yang kuat dan saya kemudian terus mencabut kepala hos yang menyambung pada gas. Bapa pula segera dihantar ke hospital,” katanya.

Chye Soon berkata, dia tinggal di rumah itu bersama bapanya sejak 15 tahun lalu dan bersyukur kerana isterinya yang kini hamil tujuh bulan tidak cedera.

Berita berkaitan

Unit pangsapuri meletup [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 3:14 PM