IMBASAN CT menunjukkan tulang (putih) dan beberapa tisu lain semakin membesar dalam perut remaja itu, membawa kembarnya yang cacat, kata laporan kes. FOTO BMJ
Agensi

LONDON: Doktor terkejut apabila mendapati punca sakit perut seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di India ialah kerana kembarnya yang membesar dalam perut pesakit selama lima tahun sebelum dikesan.

Menurut artikel yang disiarkan dalam Jurnal Perubatan Britain baru-baru ini, remaja itu berjumpa doktor yang kemudian mendapati sakit itu bukan akibat masalah penghadaman sebaliknya ‘mengandungkan’ kembarnya yang tidak terbentuk sejak dia dilahirkan.

Menurut Daily Mail, selama lima tahun ‘kembar’ itu membesar dalam perut remaja berkenaan yang kadang-kadang menyebabkan kesakitan atau berasa perut terlalu penuh selepas makan.

Doktor mengesahkan dia mempunyai ketumbuhan namun tidak tahu punca dan jenis ketumbuhan itu.

Imbasan menunjukkan ketumbuhan itu mengandungi lemak dan tisu lembut seperti sejenis organ.

Pemeriksaan lebih teliti mendapati ada tulang, termasuk tulang belakang, rusuk dan tulang panjang.

Pasukan perubatan melakukan pembedahan mengeluarkan ketumbuhan itu dua tahun lalu dan mereka mengesahkan ia mengandungi tulang seperti dilihat dalam imbasan.

Malah, ketumbuhan itu turut mengandungi rambut serta beberapa gigi.

Ia dikenali sebagai teratoma, sejenis ketumbuhan yang membesar menjadi beberapa jenis tisu seperti yang berlaku dalam proses pembesaran janin tetapi bukan bayi.

Pakar perubatan mengesahkan ketumbuhan remaja itu adalah kembarnya yang gagal terbentuk ketika dalam rahim tetapi diserap tubuhnya apabila ia gagal membesar.

Kebarangkalian kejadian itu untuk berlaku ialah satu bagi setiap 500,000 kelahiran hidup di seluruh dunia dan biasanya berlaku kepada lelaki.

Menurut artikel dalam jurnal Sains Perubatan Institusi India, doktor percaya remaja berkenaan adalah pesakit paling tua pernah dikesan mengalami kejadian seperti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:02 AM