Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


“SATU-SATUNYA cara saya dapat terbang dengan mereka adalah dengan berhenti kerja.

“Kalau saya tunggu di tempat kerja lama dan walaupun mereka dapat masuk ke sana sekali pun, ketika itu saya sudah pun mengendali pesawat A380.

“Untuk mereka mengendali A380, mungkin akan mengambil masa hampir 10 tahun dan pada masa itu saya sudah pun bersara,” kata Kapten Abu Bakar Shafie, 61.

Abu Bakar ialah juruterbang pesawat komersil yang sanggup berhenti kerja dengan jawatan tertinggi demi mahu meluangkan masa bersama dua anak gadisnya yang kini bertugas sebagai juruterbang di AirAsia.

Kisah Abu Bakar dan dua anak gadisnya, Safia Amira, 28, dan Safia Anisa, 23, menjadi bualan warganet apabila Safia Anisa berkongsi keterujaan di Twitter mengenai bapanya yang sanggup bermula dari bawah semata-mata mahu terbang bersama anak.

Bapa kepada tujuh anak itu, ketika ditemui Harian Metro, berkata pada peringkat awal memang sedikit sukar untuk menyesuaikan diri apatah lagi sudah 40 tahun bertugas sebagai juruterbang di syarikat lama.

“Pada usia saya yang sudah masuk 61 tahun, memang pada awalnya agak sukar.

“Saya perlu melalui penukaran penuh pengendalian pesawat sebab tidak boleh melangkah mudah dari mengenali pesawat A380 kepada A320.

“Saya kena belajar semula dari awal yakni termasuk pergi ke kelas, latihan simulator dan sebagainya yang mengambil masa selama tiga bulan.

“Apatah lagi, cara kendalian setiap pesawat adalah berbeza,” katanya.

Beliau yang bakal bersara pada usia 65 tahun mengaku apabila membuat keputusan untuk berhenti dan bermula dari bawah, ramai rakan menyifatkan keputusan diambil adalah gila.

“Mereka kata saya gila sebab sanggup tinggalkan jawatan dan tempat kerja lama. Padahal bagi saya asas sudah ada dan ramai fikir sukar untuk belajar benda baru pada usia ini.

“Ia tidaklah baru cuma saya kena belajar mengendali pesawat baru saja,” katanya mulai terbang pada Julai 2017 dan pada Disember tahun sama, barulah dapat peluang terbang bersama dua anaknya.


GAMBAR kenangan Safia Amira (kiri) dan adiknya Safia Anisa (tengah) bersama bapa, Abu Bakar. FOTO Ihsan Pembaca

Dalam pada itu, Safia Amira sangat teruja kerana sudah menjadi impiannya sedari dulu dapat terbang dengan bapa sendiri.

Menurutnya, pada awal impian itu dianggap sesuatu yang sukar kerana bapanya sudah 40 tahun bertugas di syarikat penerbangan lain tapi dia yakin tiada yang mustahil.

“Masa dapat terbang dengan abah, saya agak gementar juga sebab dapat terbang dengan abah yang juga idola saya.

“Kerana abah saya dapat menjadi juruterbang dan sekarang dia akan ‘judge’ (hakimi) penerbangan saya, pastinya gementar!” katanya ketawa.


SAFIA Amira (kanan) dan adiknya Safia Anisa (kiri) teruja akhirnya dapat ‘terbang’ bersama bapa, Abu Bakar. FOTO Ihsan Pembaca

Pengalaman paling tidak dapat dilupakan mereka adalah apabila mengendali pesawat menuju ke Kuching, Sarawak.

Menurut Safia Amira, ketika itu adalah malam sambutan perayaan Chap Go Meh dan ketika mereka mendarat di lapangan terbang Kuching, percikan bunga api menghiasi pusat bandar raya itu.

“Masa nak mendarat, percikan bunga api jelas kelihatan di kiri kanan dan ketika itu adik (Safia Anisa) dan abah, idola saya, ada di sebelah.

“Ia satu perasaan yang sangat indah tak dapat saya luahkan dengan kata-kata,” katanya.

Beliau akui pada awal bapanya mengambil keputusan untuk berhenti kerja di syarikat terdahulu, terbit sedikit rasa bersalah.

Terutama apabila bapanya yang dulu hanya terbang dua kali sebulan perlu terbang hampir setiap hari untuk terbang bersama-sama.

“Dulu saya dan adik sudah biasa berjauhan dengan abah tapi sekarang ini rasa pelik pula sebab tengok dia hampir setiap hari di rumah.

“Adik (Safia Anisa) pun sama, kami berdua bermula di AirAsia dan sering bertemu. Kadang kala ada juga dapat terbang bersama.

“Tapi di sini (AirAsia), kami rasa seperti berada di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar akui anak kelimanya yang baru berusia 17 tahun turut menunjukkan minat sama untuk bergelar juruterbang.

“Saya akan cuba membantu selain mendorongnya untuk mengikut jejak langkah kami bertiga.

“Mungkin apabila dia berjaya, saya sudah pun bersara tapi tak mengapa, harap dia dapat terbang dengan dua kakaknya pula pada masa depan,” kata Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 9:51 PM