Arwah Suffian disolatkan di Masjid Kampung Banggol Pauh Kuala Terengganu. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my


PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Wan Muhamad Azraie Wan Teh menyifatkan pemergian Mohd Suffian Abd Rahman sebagai kehilangan besar buat pasukan.

Wan Azraie berkata, arwah seorang yang tidak lokek ilmu kerana sentiasa memberi tunjuk ajar kepadanya dan penjaga gol lain dalam pasukan, selain mudah didekati sama ada di padang atau sebaliknya.

“Saya terkejut mendengar berita itu melalui WhatsApp dan sukar untuk mempercayainya, namun menerimanya dengan hati yang berat selepas disahkan pihak persatuan.

“Kenangan manis bukan sahaja ketika kami beraksi bersama pasukan TFC tetapi ketika kami bersama-sama menyarung jersi Pahang pada 2011 kerana arwah sudah memberi tunjuk ajar kepada saya bagaimana menjadi penjaga gol yang berkualiti.

“Saya anggap arwah seperti abang sendiri dan arwah ada memberi kata-kata semangat kepada saya sebelum pertemuan dengan pasukan JDT ketika sesi latihan terakhirnya pada akhir Julai lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi Shukur Jusoh, pemergian penjaga gol itu meninggal kesan mendalam kepada dirinya dan pasukan kerana arwah dianggap abang kepada pemain yang lain.

“Saya cukup terasa kehilangannya kerana arwah sudah saya anggap sebagai seorang rakan dan abang yang baik.

“Sudah tiga tahun saya bersama arwah iaitu bermula ketika bersama FELDA United pada 2016 dan kini dalam pasukan TFC.

“Arwah bukan hanya baik di padang tetapi di luar padang. Berita ini amat mengejutkan kami apatah lagi malam ini kami akan beraksi menentang Negeri Sembilan,” katanya.

Allahyarham yang membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia tahun lalu meninggal dunia pada jam 1.10 tengah hari dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol Pauh, Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Berita berkaitan

Suffian sudah tiada

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 6:25 PM