MOHAMAD Izat Danial menemani adik bongsunya, Nur Damia Sofea di Hospital Kuala Krai (HKK). FOTO Ramli Ibrahim.
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

“MANA mama? Adik nak jumpa mama,” luah Nur Damia Sofea Che Azmi, 7, sebaik sedar selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK), hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik itu sedar pada 8 pagi dan bertanyakan arwah ibunya, Nor Hayati Mohamed kepada abang sulungnya, Mohamad Izat Danial, 23.

Nor Hayati maut dalam kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, semalam bersama suaminya, Che Azmi Che Hamzah dan guru tahfiz, Zulfaizan Muhammad.

Kemalangan itu turut menyebabkan Nur Damia Sofea cedera, termasuk abangnya, Mohamad Faris Faisal, 15, dan Mohamad Afiz Zulhilmi, 13. Mereka dirawat di hospital sama.


ZULFAIZAN (dua kiri) meninggalkan seorang isteri dan lapan anak. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali

Mohamad Izat Danial berkata, adiknya masih belum mengetahui kematian orang tua mereka kerana tidak sedarkan diri sejak kejadian berlaku.

“Hanya Mohamad Faris Faisal dan Mohd Afiz Zulhilmi sahaja yang tahu (ibu bapa meninggal dunia) tetapi Damia belum lagi.

“Saya sedih mendengar pertanyaannya mengenai mak dan sukar untuk memberitahunya. Namun sebagai abang sulung, saya perlu tabah dan kuat dengan semua adik saya kerana kami sudah tiada sesiapa lagi,” katanya ketika ditemui di HKK, hari ini.

Menurutnya, dia bersama adiknya, Mohamad Syakir Aiman, 18, menjaga ketiga-tiga adik mereka di hospital sehingga dibenarkan keluar, sambil dibantu bapa saudara dan sepupu.

Katanya, dia juga sentiasa memberi kata-kata semangat kepada adiknya dan mahu mereka melupakan tragedi itu bagi mengelak tekanan.

“Dugaan ini terlalu besar untuk kami hadapi apatah lagi saya masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Lambat-laun semua adik akan dapat terima nasib kami sebagai yatim-piatu.

“Yang lebih penting ketika ini, saya mahu mereka sihat dan ceria sebelum saya teruskan pengajian saya,” katanya.

Dalam pada itu, di Pasir Puteh, ibu Zulfaizan, Siti Aisyah Sulaiman, 76, mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan lapan cucu dan menantu yang ditinggalkan anaknya.

Katanya, menantunya, Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, patah kaki dan anaknya ada yang patah pinggul, hidung dan cedera pada anggota badan akibat kemalangan itu.

“Ikutkan saya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku kerana mereka sekeluarga baru lepas beraya di sini (Kampung Changgai, Pasir Puteh) dan dalam perjalanan pulang ke Klang, Selangor.

“Arwah anak adalah guru tahfiz sejak dua tahun lalu dan isterinya pula tidak bekerja kerana menjaga anak di rumah.

“Tentulah sukar buat menantu saya kerana hilang tempat bergantung dan saya mahu mereka tinggal di sini dan saya akan mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan mereka demi masa depan cucu,” katanya ketika ditemui.

Dalam kemalangan pada 4.50 pagi semalam, Toyota Avanza dinaiki Nor Damia Sofea bersama keluarganya terbabit kemalangan dengan van Toyota Hiace dinaiki Zulfaizan bersama sembilan ahli keluarga menyebabkan tiga maut dan 12 lagi cedera.

Berita berkaitan:

  • Suami isteri antara tiga maut
  • Ajal selepas ziarah jenazah saudara
  • Pasangan suami isteri dikebumi bersama
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:08 PM