Mohd Suffian meninggal akibat serangan jantung jam 1 tengah hari tadi. -Foto Facebook Terengganu FC
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


KURANG lapan jam sebelum sepak mula pertemuan Terengganu FC (TFC) dengan Negeri Sembilan pada saingan Piala Malaysia malam ini, kem TFC dikejutkan dengan berita pemergian penjaga gol utamanya, Mohd Suffian Abd Rahman, 41, yang meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, bekas penjaga gol kebangsaan itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal, dekat Kuala Terengganu.

“Saya begitu terkejut mendengar berita itu, saya dimaklumkan kematian arwah disebabkan masalah jantung dan arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tunggal selepas solat Asar petang ini.

“Saya mengharapkan peminat setia skuad TFC dan seluruh peminat bola sepak tanah air mendoakan arwah Suffian ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman,” katanya.


JENAZAH Mohd Suffian di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu. -Foto Ihsan Pembaca

Pada 1 Ogos lalu, penjaga gol berpengalaman itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana masalah jantung.

Bagaimanapun selepas beberapa hari berada di hospital, penjaga gol itu stabil dan dibenarkan pulang untuk membuat rawatan susulan.

Musim lalu, bekas penjaga gol kebangsaan itu adalah antara watak penting kejayaan skuad Penyu muncul naib juara Piala Malaysia dan menduduki tangga keempat Liga Super.

Pemain paling senior Liga Malaysia (Liga M) itu yang menyarung jersi skuad TFC bermula pertengahan 2017 juga beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 3:56 PM