UPACARA akad nikah berlangsung di Masjid Itaewon, Seoul jam 4.30 petang.
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Episod cinta dua negara di antara Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim dan You Narae, gadis manis dari Korea Selatan berakhir di jenjang pelamin selepas pasangan itu ijab kabul petang, kelmarin.

Upacara akad nikah berlangsung di Masjid Itaewon, Seoul kira-kira jam 4.30 petang (waktu Malaysia) dalam suasana ringkas dan hanya ditemani adiknya, Nik Ayub, 23, yang juga sebagai saksi serta beberapa rakan terdekat.

Nik Muhammad Ryzal, 27, berkata dengan hanya sekali lafaz, You Narae, 27, yang anggun berbusana pengantin berwarna putih sah bergelar isterinya.

“Upacara akad nikah agak ringkas namun apa yang menariknya, secara kebetulan ada satu rombongan pelancong dari Kelantan yang datang ke masjid berkenaan untuk solat.

“Kumpulan rombongan itu bertanyakan kepada saya adakah kisah kami berdua yang pernah mendapat liputan dalam media massa sebelum ini dan sebaik mengiyakan, mereka sangat teruja.

“Tanpa membuang masa mereka terus mengambil peluang merakamkan gambar kenangan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


ROMBONGAN pelancong dari Kelantan bergambar sambil mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin.

Nik Muhammad Ryzal berkata, insiden yang sama dialami apabila selesai majlis akad nikah dan mereka bertembung dengan banyak kelompok pelancong dari beberapa negara ketika dalam perjalanan ke kedai makan berhampiran dengan masjid.

Katanya, pelancong teruja untuk mengambil gambarnya dan You Narae disebabkan mungkin isterinya mengenakan busana pengantin Melayu dengan siap bertudung dan imej itu sangat menarik perhatian.

“Saya hanya mengenakan sut biasa berwarna putih tapi isteri memakai baju pengantin yang kami tempah di Perak sekali dengan tudung yang dipakainya sendiri termasuk berdandan ringkas.

“Mungkin penampilan kami yang berbaju pengantin berjalan di tengah jalan menarik perhatian orang ramai terutama You Narae yang berwajah wanita Korea tapi mengenakan busana Melayu lengkap.

“Majlis perkahwinan akan diadakan pada 29 September ini di Seoul saya meminta warga Malaysia yang belajar atau bekerja di sini supaya hadir memeriahkan majlis kami.

“Manakala, majlis di Kelantan pula kalau tiada aral melintang, Insya-Allah akan berlangsung Februari tahun depan,” katanya.

Sebelum ini kisah Nik Muhammad Ryzal yang berasal dari Taman Sari, di sini dan You Narae sering dipaparkan di akhbar termasuk pengalaman wanita Korea itu yang pertama kali menyambut Aidilfitri baru-baru ini di Kelantan.

Nik Muhammad Ryzal berkata, isterinya agak teruja beberapa hari sebelum diijab kabul dan merujuk kepadanya serta imam Masjid Itaewon mengenai apa lagi persediaan yang perlu untuk dilakukan.

“Alhamdulillah, dia (You Narae) sangat seronok dan sangat bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri serta muslim yang lebih baik dan kami bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:20 AM