Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


PENGANGGUR kelihatan sebak ketika dipeluk ahli keluarganya selepas Mahkamah Tinggi Melaka hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas didapati bersalah kerana membunuh tiga ahli keluarga angkatnya kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman itu terhadap Luqman Hadi Mustapa, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Luqman didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Hassan A Wahab, 70; Mariah Baharin, 61, dan Muhammad Taufeq Hassan, 22.

Dia turut didakwa menetak Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24, menggunakan parang panjang mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana perbuatan itu boleh menyebabkan kematian yang boleh menjadi kesalahan membunuh.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim, Melaka antara 5.50 pagi hingga 6.15 pagi pada 25 Ogos 2016.

Bagi Seksyen 302 KK, ia memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ahmad Nasfy ketika membuat keputusan itu berkata, kesemua perbuatan tertuduh tidak konsisten dengan perbuatan orang tidak siuman.

"Atas sebab itu, mahkamah menolak pembelaannya dan tertuduh didapati bersalah serta disabitkan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 bagi pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

"Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh dikenakan hukuman 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan," katanya.

Susulan mendengar hukuman itu, beberapa ahli keluarga tertuduh dilihat menangis sambil memeluknya.

Seramai 25 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula 22 Oktober 2016.

Harian Metro pada 26 Ogos 2016 melaporkan pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka mati dikelar dengan senjata tajam oleh seorang lelaki dipercayai anak angkat mangsa yang tinggal bersama.

Lelaki itu ditahan polis di sebuah masjid di Bukit Rambai kira-kira 11 pagi pada hari kejadian selepas didapati kereta yang dilarikannya dikesan berada di pekarangan masjid terbabit.

Dia kemudiannya ditemui bersembunyi dalam masjid dengan berjubah biru.

Berita berkaitan:

  • Tiga sekeluarga mati dikelar [METROTV]
  • Suspek bunuh tiga sekeluarga ditahan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 12:36 PM
    Luqman Hadi diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka dijatuhkan hukuman gantung sampai mati hari ini kerana membunuh tiga ahli keluarga angkatnya tiga tahun lalu. Foto Rasul Azli Samad