ABDUL Halim bersama motosikal klasik jenis Honda C70 sebelum memulakan ekspedisi jelajah Thailand selama dua minggu sempena Bulan Kemerdekaan.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PADANG BESAR: Setiap rakyat Malaysia mempunyai cara tersendiri bagi meraikan Bulan Kemerdekaan sebagai tanda sayang dan cintakan tanah air.

Namun, sedikit kelainan yang ditunjukkan seorang lelaki dari Kampung Batu 20 di sini, apabila dia nekad melakukan ekspedisi solo jelajah seluruh wilayah di Thailand dengan menaiki motosikal kapcai jenis Honda C70 sambil membawa Jalur Gemilang bersamanya.

Abdul Halim Mat, 47, berkata, ekspedisi yang merentasi hampir semua 76 wilayah di Thailand dengan jarak perjalanan hampir 4,000 kilometer itu bermula semalam dan memakan masa selama dua minggu.

“Saya bermula dari sini dan akan berhenti untuk mengisi petrol motosikal di Patthalung (Thailand).

“Kemudian saya akan meneruskan perjalanan sejauh kira-kira lebih 1,600 kilometer ke Mae Hong Son, Chiang Mai sebelum berpatah balik dengan menggunakan laluan di bahagian timur wilayah Thailand,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 20, tempat dia memulakan perjalanannya pagi semalam.

Menurut Abdul Halim, dia melakukan ekspedisi tunggangan solonya itu bukan untuk meraih populariti tetapi bagi membuktikan bahawa dirinya mampu melakukan sesuatu yang dianggap mustahil oleh orang lain.

“Pada perancangan awalnya, saya akan melakukan ekspedisi ini bersama tiga lagi rakan namun atas masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan mereka terpaksa membatalkan perjalanan di saat akhir.

“Rakan yang lain ada juga menasihati saya agar membatalkan saja ekspedisi ini berseorangan kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku di samping keadaan motosikal yang klasik dan lama.

“Namun saya tekad mengharungi cabaran ini seorang diri dan tawakal untuk melakukannya selain mempunyai kenalan yang boleh dihubungi seandainya berlaku apa-apa sepanjang berada di sana,” kata bapa kepada dua orang anak perempuan berusia 13 dan 16 tahun itu.

Abdul Halim berkata, cabaran terbesar yang perlu dihadapi bersama motosikal klasiknya itu adalah sewaktu melalui kawasan berbukit sejauh hampir 200 kilometer sebelum memasuki wilayah Chiang Mai.

“Ini kerana tiada stesen petrol untuk saya berhenti sepanjang melalui di kawasan terbabit dan perlu bersedia dengan membawa bekalan petrol yang mencukupi.

“Malah, dalam ekspedisi kali ini juga saya akan berhenti berkhemah di kawasan tertentu dan menumpang tidur di masjid bagi menjimatkan kos perjalanan,” katanya yang sebelum ini pernah melakukan aktiviti sama ke Phuket, Thailand bersama motosikal terbabit.

Abdul Halim dijangka sampai di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar pada malam 31 Ogos nanti sekiranya ekspedisi solonya itu berjalan dengan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:40 AM