AMALUDDIN terlepas hukuman gantung selepas dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Laungan Alhamdulillah dan Allahuakbar dilakukan tiga keluarga di galeri awam Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas pasangan tunang serta rakan mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah pada Februari tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Amaluddin Gulam Mohamad, 26, Kamarul Izwan Rasidi, 28, dan tunangnya Nursyuhadah Md Zain, 28, selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata, sikap tidak prihatin pegawai penyiasat dalam melakukan penyiasatan tidak lengkap, kukuh dan terperinci menjurus kepada keputusan berkenaan.

“Pegawai penyiasat juga mengakui tidak boleh memadankan tujuh kesan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian dengan ketiga-tiga tertuduh disebabkan masalah sistem (rekod jari) dan perlu dihantar ke forensik.

“Pengesanan di bahagian forensik juga dilakukan dua hari sebelum perbicaraan kes berakhir pada Julai lalu,” katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 512 gram di tepi jalan PJS 8/5 Sunway Mentari, Petaling Jaya, jam 9 malam pada 9 Februari 2018.


NURSYUHADAH dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta boleh dihukum Seksyen 39B(2) akta sama dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Amaluddin diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan Dhanyaa Shreeya, manakala Kamarul Izwan diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin serta Mohamad Salihen Mastor.

Sementara Nursyuhadah diwakili peguam Gerard Lazarus dan prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Abdul Razak.

Prosiding bermula pada 13 Mei lalu dan seramai empat saksi pendakwaan serta 24 eksibit dikemukakan kepada pihak mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:40 AM