EYRA berlakon drama Puteri Yang Ditukar.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Nama Eyra Hazali mula bersinar selepas membintangi drama bersiri Mr Grey. Walaupun selepas itu kariernya sedikit perlahan, momentum itu kembali laju selepas dia bertudung.

Eyra, 20, bersyukur rezekinya semakin banyak selepas dia mengenakan tudung. Malah, dia juga diberikan kepercayaan membawakan antara watak utama dalam drama 80 episod berjudul Puteri Yang Ditukar.

“Ujian setiap individu itu berbeza. Selepas bertudung, memang banyak tawaran yang datang tetapi ada yang terpaksa ditolak kerana tidak sesuai dengan imej.

“Contohnya watak wanita dirogol. Jalan cerita itu sebenarnya ingin memberikan pengajaran kepada penonton dan mungkin ada pelakon yang akan membawakan watak begitu, tetapi pendirian saya lain.

“Sejak awal pembabitan dalam bidang seni, itu adalah pendirian saya. Saya bukan hanya kena jaga nama sendiri tetapi juga keluarga. Bapa saya juga tidak galakkan untuk ambil watak sebegitu,” katanya.

Walaupun Eyra tidak bertudung ketika mula-mula bergelar pelakon, dia sama sekali tidak pernah memakai pakaian seksi. Dia sememangnya sangat menitikberatkan hal berpakaian.

Dengan penampilan terkini itu, Eyra yang mengimpikan untuk melakonkan babak aksi tidak pernah sekali pun melupakan hasrat untuk suatu hari nanti berlakon dalam naskhah genre berkenaan.


EYRA memenangi anugerah Instafamous Pujaan Hati sempena Anugerah Instafamous edisi kedua, baru-baru ini.

“Saya tahu silat, jadi memang ada keinginan untuk menggunakan kemahiran itu dalam lakonan. Memang banyak watak air mata yang saya lakonkan, sebab itulah saya memasang impian untuk berlakon cerita aksi.

“Bagaimanapun, selepas bertudung pemilihan watak haruslah lebih realistik. Bukanlah orang bertudung tidak boleh melakonkan babak aksi, tetapi untuk dapatkan kepercayaan itu bukan mudah.

“Jika suatu hari nanti saya diberikan peluang berlakon dalam drama atau filem aksi, saya bersyukur, tetapi saya tidaklah terlalu mengharap. Apa yang ada sekarang pun saya sudah cukup bersyukur,” katanya yang masih menjalani penggambaran Puteri Yang Ditukar hingga September depan.

Memenangi anugerah khas Instafamous Pujaan Hati sempena Anugerah Instafamous edisi kedua, baru-baru ini, Eyra mengakui penat melakonkan watak Zahira dalam drama panjang berkenaan.

“Pada masa terdekat, saya mungkin tidak ambil drama panjang sebab penggambaran Puteri Yang Ditukar pun hanya akan selesai pada September. Letih berlakon dalam drama ini tidak sama dengan ambil dua atau tiga projek dalam satu masa.

“Saya ada tawaran berlakon dalam drama 200 episod. Penggambaran akan bermula tahun depan tetapi buat masa ini saya masih fikirkan dan dalam peringkat perbincangan.

“Kalau 80 episod pun ambil masa enam bulan untuk penggambaran, kalau 200 episod tentu makan masa hampir dua tahun. Bagi saya, ia letih sebab kena kekalkan momentum watak dalam tempoh itu,” katanya.

BAKAL BERGELAR ISTERI

Eyra yang merancang untuk mendirikan rumah tangga pada November ini turut sibuk membuat persiapan. Bertunang dengan penjaga gol skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli pada 1 Disember tahun lalu, pasangan itu masih merahsiakan tarikh pernikahan mereka.

Eyra berkata, dia tidak bimbang namanya akan merudum selepas bergelar isteri.

“Memang benar, rezeki saya sekarang melimpah ruah dan banyak tawaran berlakon. Tetapi, saya tidak bimbang pun populariti jatuh atau tawaran semakin berkurangan selepas berkahwin.


EYRA bersama tunang tersayang.

“Saya percaya pada rezeki. Kalau tawaran berlakon kurang, saya mungkin boleh buat benda lain. Boleh mulakan perniagaan. Kalau saya bimbang mengenai populariti, saya tidak akan kahwin.

“Mungkin individu lain menangguhkan dulu hasrat untuk berkahwin kerana nama semakin mekar, tetapi saya bukan seperti itu. Hal perkahwinan ini pun sudah lama kami rancang,” katanya.

Dalam kesibukan menjalani penggambaran, Eyra yang mula bercuti sebaik saja selesai penggambaran Puteri Yang Ditukar bagaimanapun tidak hanya duduk diam ketika masa senggang.

Setiap kali ada masa terluang, Eyra akan menggunakan ruang berkenaan untuk selesaikan sedikit demi sedikit persiapan perkahwinan mereka. Dia turut lega kerana keluarga turut memberikan bantuan.

“Ada hari-hari tertentu yang saya tiada penggambaran, saya tidak duduk di rumah dan berehat. Saya gunakan peluang itu untuk keluar dan mencari barang-barang yang diperlukan untuk majlis nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:30 AM