Faliq Lajim
faliq.lajim@hmetro.com.my


WALAUPUN hanya menggunakan kadbod, namun ia tidak menghalang kreativiti dua beradik untuk mencipta replika pelbagai jenis kenderaan.

Sehingga kini, Muhammad Adam Shakirin Mohd Fuad, 13, dan Muhammad Azim Hafifi, 10, mempunyai 29 replika pelbagai kenderaan seperti mesin padi, traktor, lori, treler dan motosikal termasuk bengkel.

Ibunya yang juga guru tadika, Norin Puteh, 37, berkata, minat kedua-dua anaknya itu juga didorong oleh pekerjaan ayahnya iaitu Mohd Fuad Ishak, 40 sebagai pemandu lori.

Menurutnya, sejak berusia 10 tahun, Adam sudah menunjukkan minat apabila sering meminta untuk dibelikan mainan jenis kenderaan selain teruja apabila melihat lori serta traktor milik datuknya.

“Pada mulanya Adam hanya membina replika itu menggunakan kotak kasut dan juga pita pelekat berwarna. Bagaimanapun, dia sentiasa mencari jalan bagi memperbaiki replika itu supaya ia kelihatan lebih cantik dan juga kemas.

“Lama-kelamaan, dia bina replika itu guna kadbod, putik kapas, straw, dawai dan juga butang baju dan cat semburan. Cuma untuk bahagian tayar, mereka ambil dari mainan yang dibeli,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


ANTARA koleksi menarik Muhammad Adam Shakirin dan Muhammad Azim. FOTO NSTP

Norin yang tinggal di Pendang, Kedah berkata, adik kepada Adam iaitu Azim kemudiannya mengikut jejak langkah abangnya itu selepas hampir setiap hari meluangkan masa bersama.

Katanya lagi, anaknya itu akan membuat rujukan di Internet terlebih dulu atau menangkap gambar kenderaan yang menarik minat mereka melalui telefon pintar bagi menghasilkan replika itu.

“Ketika ini mereka banyak menghabiskan masa membuat replika motosikal ‘Ysuku’ (Yamaha Y15zr) yang menjadi trend masa kini.

“Bagaimanapun, saya tak galakkan untuk mereka buat selalu. Cuma masa cuti sekolah saja dibenarkan buat sebab saya tidak mahu ia mengganggu waktu pembelajaran mereka,” katanya.

Terdahulu, Norin memuat naik status bersama 25 gambar di laman Facebooknya mengenai kisah dua anaknya yang mencipta replika seperti lori, motosikal, mesin padi dan sebagainya.

Perkongsian itu kemudiannya tular dan mendapat 4,800 tanda suka, 3,200 perkongsian serta 1,000 komen daripada warganet.

Sementara itu, Norin berkata, dia tidak menyangka statusnya itu tular dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai berikutan ia adalah sekadar aktiviti anaknya ketika pada waktu lapang.

“Memang saya terkejut. Namun, saya bersyukur apabila orang ramai memberikan komen yang positif terhadap dua anaknya itu,” katanya.


KOLEKSI motosikal yang dilengkapi dengan bengkel. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 10:08 PM
MUHAMMAD Adam Shakirin dan Muhammad Azim bersama 29 replika pelbagai kenderaan. FOTO NSTP