CHE Zakaria ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HTJS. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PROSES bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dijangka mengambil masa lebih tiga jam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, proses itu mengambil masa yang panjang kerana perlu melengkapkan laporan.

“Untuk makluman, bedah siasat ini akan mengambil masa antara dua hingga tiga jam sebelum laporan diperoleh,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), hari ini.

Sementara itu, peguam keluarga Nora Anne, Sankaran Nair berkata, laporan bedah siasat itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kebiasaannya, kematian mengejut memerlukan inkues. Saya akan meminta Peguam Negara mempertimbangkan sama ada inkues diperlukan dalam kes ini.

“Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menentukan kematian mangsa sama ada wujud unsur jenayah atau tidak, perlu tunggu laporan bedah siasat dikeluarkan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Mengulas lanjut, Sankaran berkata, keluarga mangsa turut hadir pada pagi ini untuk mengecam mayat sebelum bedah siasat dimulakan.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil keluarga selepas ini, beliau berkata, pihaknya belum membincangkan perkara itu kerana perlu menunggu keputusan bedah siasat terlebih dulu.

“Kami masih memikirkan tindakan seterusnya. Oleh kerana mereka baru melalui satu detik yang sangat menyedihkan mungkin saya rasa mereka belum dapat menjelaskan tindakan selanjutnya.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan mereka ketika ini yang terlalu trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keluarga merakamkan setinggi penghargaan kepada polis dan semua pihak berkuasa yang terbabit secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne sejak 4 Ogos lalu.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan hutan berhampiran resort penginapan keluarga remaja itu, pada jam 1.57 petang semalam.

Mayat berkenaan ditemui sekumpulan pendaki yang turut menyertai operasi SAR berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 12:08 PM