PEMAIN B-18 meraikan kejayaan 3-0 ke atas Australia di Stadium Thanh Long, Ho Chi Minh.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


DUA jaringan sensasi Luqman Hakim Shamsudin dan satu menerusi Muhammad Azam Azmi Murad mencerahkan laluan skuad bawah 18 (B-18) tahun negara untuk ke separuh akhir Kejuaraan AFF B-18 selepas membenam Australia 3-0 di Stadium Thanh Long, Ho Chi Minh, Vietnam, semalam.

Luqman yang kini menjadi buruan kelab Liga Satu Jepun (J1), Cerezo Osaka nyata menjadi duri dalam daging buat lawan dan dengan kemenangan itu, Malaysia mengumpul sembilan mata selepas empat aksi dalam Kumpulan B.

Berdasarkan kedudukan terkini, tiga pasukan teratas kumpulan iaitu Malaysia, Australia dan tuan rumah Vietnam masih berpeluang muncul dua pasukan terbaik dengan anak buah Brad Maloney wajib menewaskan Thailand pada aksi terakhir hari ini bagi meraih slot ke pusingan kalah mati.

Selepas merehatkan hampir separuh pemain utama ketika menewaskan Kemboja 3-0 Ahad lalu, Maloney sekali lagi bijak merencana strategi berdepan The Socceroos dengan memilih gerakan serangan balas pantas sebagai senjata.

Malaysia yang banyak menyerap asakan pada 15 minit pertama akhirnya mengejutkan Australia apabila hantaran jauh Mohd Nasip Mohammad Zain berjaya dihidu Luqman yang tenang menewaskan penjaga gol, Jackson Henry pada minit ke-17.

Selang 10 minit kemudian, skuad negara melebarkan kedudukan menerusi ledakan padu Azam yang menerima sepakan sudut Muhammad Firdaus Kaironnisam.

Australia yang sebelum ini cemerlang memenangi tiga aksi tanpa kalah, terus dikejutkan dengan gol ketiga sekali lagi menerusi gerakan Luqman yang bijak memperdayakan pertahanan sebelum meledak gol pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Australia cuba meningkatkan tekanan dengan memperaga aksi lebih keras.

Bagaimanapun, ketua pasukan negara yang juga penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan barisan pertahanan tampil ampuh hingga tiupan wisel penamat sekali gus meneruskan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.

“Pemain mengikut arahan sebaiknya dari awal dan itu kunci kejayaan kami ke atas Australia. Kami mahu cari gol awal dan pemain-pemain berjaya melaksanakan tugas itu,” kata Maloney sejurus tamat aksi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 6:00 AM