Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SUAMI isteri warga emas dari Kampung Sempering, Kangar terpaksa melupakan sambutan Aidiladha esok selepas rumah mereka ranap akibat ribut, malam tadi.

Menurut Ahmad Kancil, 73, berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya Rohani Saad, 56, sedang berehat di ruang tamu rumah mereka.

“Tiba-tiba angin kencang seakan mahu mengangkat bumbung sehingga rumah kami bergoyang dan ‘terangkat’.

“Sebaik saya dan isteri melangkah keluar dari pintu rumah, rumah kami ranap dalam sekelip mata akibat ‘dipukul’ ribut,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurut Ahmad, dia cedera ringan di tangan kiri akibat cuba menahan bumbung rumah daripada menimpanya.

“Saya bersyukur kerana kami berdua selamat meskipun tahun ini sambutan Aidiladha tidak bermakna bagi kami.

“Kini kami menumpang di rumah anak perempuan yang berdekatan sementara menanti bantuan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Mejar (PA) Mohd Farid Ishak berkata, sebanyak 246 rumah di Perlis mengalami kerosakan.

Beliau berkata, Bintong menjadi kawasan adalah terjejas teruk dengan 198 rumah rosak.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Chuping, menempatkan enam keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 1:44 PM
RUMAH pasangan berkenaan. FOTO Shahrizal Md Noor