KHALID Ali
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Jangan suka-suka tuding jari pada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam isu kontrak kerana pemain sendiri harus bertanggungjawab dengan menyimpan satu salinan selepas tandatangani perjanjian bersama pasukan.”

Itu reaksi bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali ketika diminta mengulas isu ‘kontrak misteri’ seperti yang dilaporkan Arena Metro, semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan 13 kontrak bersama pemain pasukan, namun ia ‘hilang’ atau tidak sampai ke FAM hingga mencetuskan masalah untuk membuat aduan mengenai tunggakan gaji.

Situasi terbabit terjadi kepada 13 pemain kelab yang sudah bungkus iaitu Terengganu City FC (TCFC) yang sehingga kini menjadi tanda tanya ke mana hilangnya kontrak mereka yang sepatutnya di simpan oleh badan induk bola sepak negara itu.

Khalid berkata, pemain sepatutnya lebih peka dengan tidak mengharapkan pihak lain memegang atau menyimpan kontrak perjanjian mereka apabila mahu membuat sebarang tuntutan tunggakan gaji.

“Sepatutnya simpan salinan kontrak kerana jika timbul masalah tuntutan gaji, dokumen berkenaan yang akan membantu untuk membuat aduan kepada FAM.

“Mungkin ada sebab tertentu FAM tidak menyimpan dokumen terbabit kerana ia membabitkan Liga FAM bukannya profesional seperti Liga Super atau Perdana,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan tidak timbul isu sama ada kontrak pemain ada dalam simpanan FAM atau tidak kerana peraturan pertandingan saingan amatur seperti Liga FAM berbeza dengan syarat-syarat yang termaktub untuk liga profesional seperti Liga Super dan Liga Perdana.

Katanya, TCFC sudah memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan badan induk terbabit sebelum dibenarkan beraksi di Liga FAM.

Sambil menegaskan kes kontrak 13 pemain yang dilaporkan Arena Metro tidak ada dalam rekod FAM , Stuart berkata, badan induk itu bersikap terbuka dan bersedia membantu pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji agar mendapat pembelaan sewajarnya.

Mengikut rekod FAM, 54 kes membabitkan pemain dan pegawai pasukan terbabit sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:30 AM