Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Dihampiri individu yang menawarkan visa kononnya menggunakan kuota khas pewaris Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman.

Itu peristiwa dua tahun lalu didedahkan pakar urusan haji dan umrah Malaysia Datuk Md Daud Che Ngah yang aktif lebih 40 tahun dalam membimbing jemaah ke Makkah.

Menurut Md Daud, penipuan pemalsuan Visa Furada bukan sesuatu yang baharu, malah kerap berlaku di Arab Saudi terutama ketika menjelangnya musim menunaikan haji.

“Saya sendiri ada orang datang menjual nama Putera Mahkota Arab Saudi (Mohammed bin Salman) kononnya hendak beri visa minta saya jumpa sekian sekian dekat hotel di sekitar Makkah tetapi saya tidak layan kerana menyedari ini satu penipuan.

“Jadi, siapa yang dakwa wujud visa atau kuota khas hati-hati jangan percaya mesti ada agenda lain,” katanya ketika dihubungi di Makkah.

Katanya, memang wujud individu tertentu atau orang tengah kerjanya mengaut keuntungan mudah dengan memerangkap jemaah atau ejen menggunakan cara penipuan ini.

“Ada orang tertentu atau kita panggil runner kerjanya cari duit tambahan dengan buat kerja ini mencari individu atau ejen dari Malaysia.

“Selalunya Visa Furada ditawarkan dengan harga AS$3,000 (RM12,619. 20) tetapi ada yang minta sampai AS$5,000 (RM21,032).

“Ada juga duit sudah ambil tetapi akhirnya visa tidak dapat. Kalau bernasib baik dapat yang jujur akan pulangkan duit jika visa tidak lulus,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gemilang Travel Tour Datuk Ayob Mat Aris yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam pengendalian haji dan umrah berkata, setiap tahun memang kedengaran cerita mendakwa wujud kuota atau visa khas menggunakan nama kerajaan mahupun kerabat Raja Arab Saudi yang sebenarnya tidak wujud.

“Saya tidak boleh terima apabila orang kata ada visa Raja Salman hendak tunai haji. Macam mana Raja Salman hendak beri rakyat biasa visa persendirian ini?

“Ini sesuatu yang mustahil Raja Salman tidak melantik wakil perseorangan di mana-mana negara pun untuk dapatkan visa kecuali melalui kedutaan.

“Kalau dia hendak buat pun dia beri antara kerajaan dan kerajaan (G2G),” katanya.

Menurut beliau, Kedutaan Arab Saudi tidak meminta wang dalam jumlah tidak masuk akal kecuali hanya mengenakan yuran pemprosesan visa.

“Selalunya bayaran dikenakan Kedutaan Arab Saudi hanya untuk tujuan proses visa jika bayaran dikenakan melampau itu sudah tentu permohonan menggunakan saluran tidak betul.

“Jadi pastikan apa saja urusan perlu melalui Kedutaan Arab Saudi jangan menggunakan orang tengah kerana jika ikut saluran betul memang semua tiada masalah,” katanya.

Katanya, penipuan visa berkenaan boleh dikesan lebih awal dengan melakukan semakan atas talian menggunakan sistem e-Hajj Muassasah dan Kementerian Luar (MOFA).

“Sekarang sudah ada kemudahan teknologi. Semakan maklumat pemohon boleh dibuat menggunakan nombor siri pada visa berkenaan.

“Mereka boleh rujuk Kedutaan Arab Saudi untuk pengesahan visa itu sah atau palsu,” katanya.

Beliau meminta kerajaan menerusi pihak berkaitan termasuk Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) membuat pemantauan bagi memastikan penipuan berkenaan dapat dicegah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 5:50 AM