Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+ yang dilancarkan hari ini di New York. FOTO Muhammad Saufi Hassan
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


SAMSUNG melancarkan sebuah lagi peranti kelas premium keluarannya iaitu Samsung Galaxy Note 10 yang didatangkan menerusi dua varian.

Pelancaran itu dilakukan di New York, Amerika Syarikat hari ini.

Ini adalah pertama kali Samsung Galaxy versi Note mempunyai dua versi berbeza dengan kelainan saiz untuk pilihan pengguna berdasarkan kesesuaian.

Pelancaran rasmi itu juga mengesahkan bahawa tiada lagi bicu audio 3.5mm berbanding semua model Galaxy Note sebelum ini dan rekaan peranti berkenaan menggunakan lubang kamera swafoto yang diletakkan di tengah bahagian atas peranti.

Bagi Samsung Galaxy Note 10+, ia menggunakan pemproses Exynos 9825 yang dipadankan dengan memori (RAM) 12GB bersama storan sehingga 512GB.

Peranti varian itu menggunakan skrin seluas 6.8 inci AMOLED QHD+ Dinamik bersama teknologi HDR10+ untuk menghasilkan keupayaan warna serta kualiti paparan yang sangat baik walaupun berada di bawah pencahayaan terang.

Galaxy Note+ menggunakan tetapan tiga lensa bagi kamera utamanya iaitu 12 megapixel (MP) lensa lebar + 16MP lensa sudut ultra lebar + 12MP serta keupayaan 3D TOF untuk melakukan imbasan 3 dimensi.

Peranti itu menggunakan bateri kapasiti 4,300mAh yang menyokong pengecasan wayar super pantas 45W serta pengecasan pantas tanpa wayar 2.0 untuk kemudahan pengguna.

Bagi varian Galaxy Note 10 pula dilengkapi skrin 6.3 inci Dynamic AMOLED Definisi Penuh Dipertingkatkan yang turut menggunakan pemproses Exynos 9825 bersama memori (RAM) 8GB.

Peranti varian itu juga memiliki storan sehingga 256GB UFS 3.0 dan bateri sebesar 3500 mAh namun tidak mempunyai slot untuk kad tambahan mikroSD.


Samsung Galaxy Note 10 yang didatangkan menerusi dua varian. FOTO Muhammad Saufi Hassan

Galaxy Note 10 menggunakan tetapan tiga lensa 12MP + 16MP +12M memberikan kualiti gambar yang baik.

Menariknya, Samsung sudah mempertingkatkan keupayaan S Pen pada peranti Note 10 apabila mampu melaksanakan tugas menerusi pergerakan udara mengikut simbol tertentu dan pengguna hanya perlu memegang S Pen berkenaan tanpa menyentuh peranti.

Ia menjadikan peranti berkenaan bukan hanya sebagai telefon pintar biasa sebaliknya ‘mini laptop’ kepada pengguna.

Samsung Galaxy Note 10 akan dijual pada harga RM3,699 manakala Samsung Galaxy Note 10+ pula akan dijual pada harga RM4,199 bagi model yang mempunyai jumlah storan 256GB dan RM4,799 untuk model 512GB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 9:35 AM