HANI intai peluang di bidang lakonan, tidak mahu terikat dengan dunia pengacaraan sahaja.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


SELEPAS berjaya mencipta nama, penyampai radio dan pengacara Hani Fadzil berazam meluaskan empayarnya. Tidak mahu terikat dengan pengacaraan saja, dia turut mengintai peluang dalam bidang lakonan.

Begitulah semangat tinggi Hani atau nama sebenarnya Intan Farhani Mohd Fadzil, 28, yang mahu mengukuh­kan nama sebagai anak seni.

Selepas lebih 10 tahun dalam bidang berkaitan, kini dia dahagakan lebih banyak peluang. Hani yang juga penyampai radio Era FM berkata, dia tidak mahu sia-siakan peluang yang ada sekarang. Kerjaya sebagai penyampai radio dan aktiviti di media sosial ternyata menjadi medium paling berguna buatnya.

“Semangat saya kini lebih membara berbanding pada awal pembabitan dulu. Ketika itu semangat saya lebih ke arah mahu mencipta nama, tetapi sekarang dahagakan peluang lebih besar dalam kerjaya.

“Secara peribadi, saya bangga dengan apa yang sudah saya capai ketika ini. Tidak sia-sia saya mendedikasikan diri dan melipatgandakan usaha membina kerjaya yang kukuh.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu hadkan diri pada satu tahap saja. Saya ingin mencabar kemampuan ke tahap lebih tinggi dan mencuba bidang baru seperti lakonan atau apa saja bidang yang membolehkan saya keluar dari zon selesa,” katanya.

Cukup dikenali sebagai pencinta artis K-Pop, Hani juga tidak menyesal memilih untuk menerapkan minat terhadap dunia K-Pop dalam kerjaya.

Malah, sebenarnya perkara itu juga meletakkan namanya pada satu tahap lain. Menurutnya, impak terhadap kandungan K-Pop yang dijadikan bahan utama dalam perbualannya setiap hari sangat memuaskan hati.

“Rasanya dalam ramai-ramai artis di Malaysia, peminat pasti tahu saya antara yang paling obses dengan dunia K-Pop. Disebabkan kandungan sebegitu jugalah, program kelolaan saya iaitu Hallyu Era kebelakangan ini kerap ‘trending’ teratas di Twitter.


BERSAMA rakan artis terdekatnya.

“Secara peribadi, ia satu kepuasan maksimum sebagai seorang pencinta dunia K-Pop sejak dulu. Bagaimanapun, saya tidak pernah mengambil enteng mengenai hal ini dan rajin membuat kajian sebelum salurkan maklumat.

“Disebabkan itulah juga mungkin peminat K-Pop lain mula mengikuti saya. Selain itu, peluang dapat menemu ramah artis besar Korea Selatan termasuk Siwon Choi, TWICE, Dean, Ong Seong Wu dan ramai lagi sangat besar maknanya,” katanya.

Bagaimanapun, Hani tidak menafikan turut berdepan saat getir sepanjang tempoh berada dalam industri hiburan. Dengan kuasa media sosial sekarang, dia tidak terlepas daripada menjadi mangsa serangan di Internet.

“Sebenarnya kecaman atau serangan di media sosial cukup menyedihkan saya terutama perkara remeh atau tuduhan tidak berasas yang dilontarkan sedangkan ia tiada kaitan dengan saya.

“Bagaimanapun, itu juga membuatkan saya lebih berhati-hati dan terus sebarkan yang baik-baik saja. Saya tahu setiap manusia boleh lakukan kesilapan di media sosial, namun saya berusaha mahu elakkan ia terjadi,” katanya.

KELUARGA TUNJANG KEJAYAAN

Ditemui pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-28 baru-baru ini, Hani tidak menafikan kekuatan dirinya selama ini adalah berkat sokongan keluarga.

Menurutnya, dia bertuah apabila memiliki sistem sokongan yang tidak pernah berhenti percaya akan bakatnya.

“Saya boleh katakan semua yang saya capai sekarang ini tidak akan berlaku jika tanpa keluarga di belakang. Daripada saat saya bermula sehingga kini, merekalah menjadi tunjang utama kejayaan saya sekarang.

“Saya bertuah apabila setiap hal yang saya lakukan mendapat restu dan pada masa sama masih menerima nasihat berguna. Merekalah yang sebenarnya membantu saya menjadi lebih matang dalam segala hal.

“Tidak ketinggalan, suami saya turut menjadi pendorong utama dalam setiap langkah saya. Dalam pada sentiasa menjaga gerak-geri saya, dia bagaimanapun tidak pernah membataskan diri saya untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan karier, Hani mengakui aktiviti seninya selepas ini akan menjadi lebih padat dengan pelbagai program.


KELUARGA dan suami, Wan Faiz Wan Nor (berdiri kanan) menjadi sistem sokongan utama.

Menurutnya, dia bersyukur apabila peluang demi peluang yang lebih besar datang padanya.

“Saya anggap saja rezeki itu datang selepas usaha berterusan yang saya curahkan selama ini. Kepercayaan kepada bakat dan kemampuan saya itu jauh lebih penting berbanding dipilih disebabkan populariti semata-mata.

“Selepas menjadi hos jemputan menggantikan Neelofa untuk program MeleTOP tidak lama dulu, saya akan menjadi hos dua program lain yang tidak kurang hebatnya. Saya berjanji akan menggalas tugasan itu dengan sebaiknya,” katanya.

Pada acara sambutan ulang tahun kelahirannya itu, beberapa rakan artis terdekat turut memeriahkan majlis antaranya Elfira Loy, Ayda Jebat, Nabil Mahir, Akhmal Nazri serta rakan-rakan penyampai radio.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:30 AM