Faliq Lajim
am@hmetro.com.my

PENGGEMAR rokok elektronik atau vape menjadikan isu berhenti merokok sebagai punca mereka terus menghisap vape.

Walaupun tiada kajian ilmiah tepat, sebahagian besar penggemarnya mendakwa vape tiada kesan kepada kesihatan seperti rokok yang dipenuhi nikotin dan bahan toksid lain.

Bagaimanapun pendapat itu bercanggah dengan pandangan pakar kesihatan.

Kafe Ahad kali ini menjemput Pengarah UMCares, Pusat Komuniti dan Kemampanan Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin untuk berkongsi pendapat mengenai isu penggunaan vape.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Faliq Lajim, jurufoto Saifullizan Tamadi dan juruvideo Saiful Iskandar Ismail.


DR Amer Siddiq. FOTO Saifullizan Tamadi

Apa kesan vape terhadap kesihatan pengguna khasnya remaja?

Pelbagai masalah kesihatan boleh timbul daripada penggunaan vape.

Perkara utama yang perlu dilihat adalah vape sebagai satu proses penggunaan rokok elektronik. Isunya lebih tertumpu kepada kandungan rokok elektronik itu sendiri, antaranya bahan-bahan di dalamnya. Paling kita risaukan adalah dengan kandungan nikotin dalam rokok elektronik ini.

Nikotin adalah bahan yang mendatangkan ketagihan. Bagi kanak-kanak atau remaja yang menggunakan vape dengan kandungannya mempunyai nikotin, mereka mungkin berdepan masalah ketagihan pada usia muda.

Bahan lain dalam vape antaranya adalah propalina glikol (PG) dan diethyl. Dua bahan yang mampu memberi kesan terhadap kesihatan.

Walaupun ada mengatakan vape lebih selamat, ia sebenarnya mengandungi karsinogen iaitu bahan-bahan yang boleh menyebabkan barah.

Walaupun kuantitinya sedikit, ia tetap ada. Jadi, vape tidak selamat seperti yang didakwa.

Kesan terhadap ‘perokok pasif’ (mereka yang terdedah dengan asap rokok tetapi bukan perokok)?

Dari segi kajian perokok pasif, ia sebenarnya sama juga. Isu rokok elektronik tiada beza dengan rokok.

Ia menggunakan peranti yang bahannya daripada logam. Apabila peranti itu dipanaskan, kita dapati memang ada logam dalam wap itu yang mungkin boleh dihidu ‘perokok pasif.’

Adakah vape sesuai merawat ketagihan merokok?

Tidak. Dari segi falsafah, untuk merawat orang yang ketagihan merokok, dia sendiri perlu berhenti menghisap rokok.

Penggunaan rokok elektronik ini berbeza dengan ubat gantian untuk merawat ketagihan sedia ada.

Ini kerana, peranti ini boleh mendatangkan kesan nikotin agak tinggi dengan tahap kandungannya sama dengan rokok.

Oleh itu, sebagai pengganti rokok, ia dilihat sukar. Malah, ada kajian menunjukkan jika seseorang itu tidak boleh berhenti dalam masa dua tahun menggunakan rokok elektronik ini, besar kemungkinan individu itu akan terus menggunakannya.

Jadi, falsafah rokok elektronik ini bukan pengganti rokok.

Setakat ini ada bukti vape ini benar-benar selamat digunakan?

Tidak. Memang tiada. Adakah ia lebih selamat berbanding rokok? Mungkin. Tetapi adakah ia selamat 100 peratus? Jawapannya tidak.

Apakah keburukan rokok dan juga vape?

Keburukan rokok amat jelas dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Contoh keburukan rokok membabitkan semua jenis barah, masalah jantung, diabetes, kesihatan mental, masalah paru-paru, asma untuk kanak-kanak, masalah kesuburan, angin ahmar selain mulut berbau.

Bagi vape, penggunanya turut terdedah kepada serangan jantung, risiko barah dan popcorn lung (bronchiolitis obliterans).

Selain itu, penggunaan rokok elektronik yang dikongsi turut mendedahkan penggunanya kepada penyakit seperti hepatitis

Apa kaedah sebenar untuk rawat ketagihan rokok?

Isu rokok ini sangat rumit. Jika hendak berhenti merokok, satu daripada caranya adalah melalui kaedah biopsikososial.

Ia membabitkan ubat-ubatan, psikologi dan rawatan dari segi persekitaran.

Persekitaran yang kita lihat sekarang ini lebih kepada isu bagaimana kita hendak membantu mereka yang tidak merokok menerima kesan sampingan daripada perokok sekunder dan peer.

Kita juga ada rawatan psikologi berkumpulan yang memudahkan individu itu berhenti merokok.

Rawatan ubat-ubatan seperti terapi gantian nikotin, contohnya seperti getah bernikotin dalam kuantiti terkawal.

Kita juga ada terapi gantian bukan nikotin seperti menggunakan ubat varenicline.

Apa beza terapi gantian nikotin dan nikotin yang ada dalam rokok elektronik?

Objektif terapi gantian nikotin akan menjadi perokok akhirnya akan berhenti merokok.

Kedua, dari segi nikotin, ia memang rendah kerana falsafahnya adalah lebih kepada membantu dari segi ketagihan yang mungkin wujud selepas individu itu berhenti merokok.

Berbeza dengan rokok elektronik, disebabkan peranti, penggunaan nikotin pada dos tinggi, ia boleh menyebabkan individu itu rasa seronok ketika menggunakannya.

Di Malaysia, kita ada program mQuit untuk individu yang hendak berhenti dan mahu mendapatkan rawatan ketagihan merokok. Mereka boleh melayari http://jomquit.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat berkaitan.


FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Di laman web berkenaan, ada senarai klinik yang boleh membantu mereka untuk berhenti merokok selain motivasi.

Mohon dikongsikan hasil kajian mengenai ketagihan vape itu.

Kajian yang dibuat pada 2017 dari sudut kesihatan, vape memang tidak selamat digunakan ketika itu.

Kita sedar ada individu yang menggunakan e-liquid sifar nikotin, malangnya nikotin masih tetap ada dalam diri mereka. Ini kerana e-liquid sebenarnya mempunyai kandungan nikotin dan jika dilabelkan sebagai sifar, sudah tentu ia menjadi satu kesalahan.

Dari segi kajian, dalam kalangan penuntut universiti, 24 peratus daripada mereka menggunakan rokok elektronik tanpa pernah merokok.

Ini membimbangkan kerana mereka mungkin terbabit dengan isu ketagihan tanpa perlu merokok.

Selain itu, kajian yang dibuat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan ada kanak-kanak berusia tujuh tahun terbabit dengan penggunaan rokok elektronik.

Penggunaan rokok elektronik dalam keluarga?

Risiko untuk anak-anak terbabit dalam perkara ini tinggi sekiranya mereka datang daripada keluarga yang merokok.

Agak merisaukan dan mengecewakan apabila ibu bapa menggunakan rokok elektronik di depan anak mereka.

Bagaimana dengan penguatkuasaan undang-undang? Ada perbezaan penguatkuasaan di Malaysia berbanding negara lain?

Sudah semestinya. Kita lihat di negara jiran seperti Singapura, Thailand, Fi dan Brunei, mereka sudah mengharamkan penggunaan vape.

Kita di Malaysia, statusnya masih tidak jelas. Ini yang sedikit mengecewakan. Adakah kita hendak haramkan atau kawal selia, kita kena buat keputusan segera.

Kenapa negara berkenaan haramkan vape, mungkin ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada mereka.

Kita tidak boleh bandingkan dengan negara Barat berikutan budaya yang berbeza. Masalah ketika ini adalah penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak.

Di Barat, masalah penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak agak kurang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 8:01 AM