IZZUE kini mahu menari pula. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


BUKAN tamak merebut semua tawaran yang datang, sebaliknya Izzue Islam hanya mahu mengembangkan cabang seni sedia ada, sekali gus mengukuhkan namanya dalam bidang hiburan tanah air.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan ini, jika nak diikutkan dia memang mengutamakan bidang lakonan dan nyanyian yang menjadi minatnya sejak dulu.

“Cabang seni juga luas dan saya anggap setiap tawaran yang datang sebagai rezeki daripada Allah. Sebab itu, saya tidak menolak tawaran menjadi pengacara mahupun penyampai radio.

“Contohnya, saya pernah menjadi penyampai di stesen radio Suria berganding dengan Team Pagi Suria iaitu Issey dan Fizi Ali sebelum ini,” katanya.

Izzue akui dia juga mahu keluar dari zon selesa dengan mencuba sesuatu yang baharu untuk mengukuhkan namanya dalam bidang seni tanah air.

“Saya sudah merancang masa depan karier seni untuk tempoh lima tahun akan datang. Sebab itu, saya tidak gentar untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam industri seni dengan menyertai program lawak, sekali gus mendapat tempat kedua Super Spontan Xtravaganza 2018.

“Selain itu, saya merancang menceburi bidang tarian pula selepas ini kerana pernah menjadi pemenang tempat kedua dalam program Drop The Beat 2018,” katanya.

Terkini, Izzue menjadi hos program Extra Lawak yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital Gempak sempena Program Muzikal Lawak Superstar.

“Selain itu, saya juga menjadi hos program bual bicara Mutholaah Haji yang bersiaran setiap Isnin, Selasa dan Rabu sempena musim haji di saluran Astro Oasis.

“Program lain yang menampilkan saya sebagai hos dan menanti tarikh tayangan ialah Roda Selera, Resipi Rezeki dan Wira Remaja,” katanya.

Mengenai karier nyanyian pula, kata bekas anggota kumpulan Forteen ini, dia juga bakal tampil dengan lagu patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Lagu ini sentuhan bersama isteri Awin Nurin sudah siap 70 peratus dan akan dilancarkan pertengahan Ogos ini. Sebelum ini, saya pernah menghasilkan lagu Inggeris, My City yang mempromosikan keindahan dan kesenian negeri Kelantan tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 5:30 AM