GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


VOKALIS kumpulan rock popular era 1990-an ditahan kerana memiliki dadah disyaki methamphetamine di sebuah kabin bersebelahan tempat cuci kenderaan di Taman Tenaga, Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan pada 9.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar disyaki methamphetamine seberat 0.6 gram bernilai RM100 dalam kabin itu.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine, amphetamin dan dadah jenis ganja (THC).

“Suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kumpulan rock terbabit ditubuhkan pada 1994 dengan dianggotai empat orang termasuk suspek dan merakam album pertama mereka pada 1996.

Kali terakhir kumpulan itu tampil dengan produk seni mereka adalah pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 8:08 PM