Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


PERSATUAN Pengasih Malaysia (PENGASIH) mengakui masih ‘bergelut’ mendapatkan dana melengkapkan Kompleks Rawatan dan Pemulihan di Cinta Manis, Bentong, Pahang memandangkan hanya tinggal 10 bulan sebelum berpindah sepenuhnya.

Presidennya, Ramli Abdul Samad berkata, dana RM8 juta diperlukan bagi membina surau, klinik dan dewan serbaguna untuk kegunaan penghuni mereka.

“Beberapa program seperti kerjasama dengan beberapa syarikat untuk mendapatkan sumbangan bagi melengkapkan pembinaan kompleks di Cinta Manis Bentong sedang giat dilakukan ketika ini.

“Kita akan maklumkan jumlah terkini bila sudah ada sumbangan nanti. Buat masa ini pengurusan masih menyusun program bersesuaian bagi membolehkan dana mencapai sasarannya,” katanya.

Ramli turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi maklum balas mengenai perpindahan operasi ke tempat baru.

“Kita terima maklum balas selepas isu ini disiarkan Harian Metro baru-baru ini. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ramli memohon sumbangan orang ramai dan syarikat korporat untuk membolehkan kompleks itu disiapkan sepenuhnya.

Ini kerana, mereka kesuntukan masa untuk memastikan kemudahan di situ dapat diduduki memandangkan beberapa infrastruktur yang masih belum lengkap seperti masjid, klinik dan dewan serbaguna di kawasan seluas 5.6 hektar itu.

Buat masa ini, PENGASIH masih dalam perancangan untuk mengadakan makan malam amal dijadualkan Oktober depan serta menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak untuk memastikan dana sebanyak RM8 juta berjaya dikumpul dalam tempoh sasaran ditetapkan.

Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah turut mengharapkan PENGASIH memperoleh dana daripada kerajaan atau sesiapa bagi menghulurkan bantuan demi kelangsungan pertubuhan itu.

“Saya ada melawat rakan yang menguruskan pentadbiran PENGASIH ini dan berjumpa dengan presidennya. Mereka nampak buntu dengan persediaan kewangan untuk membiayai rumah itu yang dipindahkan ke Bentong.

“Diharap pihak kerajaan atau sesiapa juga menghulurkan bantuan demi kelangsungan pertubuhan ini,” katanya.

Katanya, sebagai anggota masyarakat, orang ramai harus membantu pusat seperti PENGASIH yang terbukti membantu memulihkan penagih selama ini bagi membolehkan operasi di situ berjalan seperti biasa biarpun di tempat baru.

“Di sini bukan tempat pemulihan yang dijadikan satu perniagaan, untuk kepentingan diri bukan juga untuk meraih populariti,” katanya kepada Harian Metro.

Jamal pernah menghuni PENGASIH selama lima tahun sebelum meninggalkan rumah berkenaan pada 2011.

Selain Jamal, penyanyi Radhi OAG dan Zamani Slam juga pernah menjalani pemulihan di sana selama dua tahun, manakala Ameng Spring menjadi sukarelawan di situ sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Radhi berkata, dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu PENGASIH mengumpul dana termasuk menjayakan persembahan amal kerana banyak pengalaman baru diperoleh sepanjang berada di situ satu ketika dulu.

“Saya masih ingat bagaimana PENGASIH membentuk saya menjadi insan yang menjaga solat, menghormati orang lain selain memulihkan saya daripada ketagihan. Malah, sampai hari ini saya masih mendapatkan kaunseling daripada kawan-kawan di sana.

“Perpindahan rumah PENGASIH di tempat baru satu berita sedih kerana di situlah permulaan hidup baru kepada mereka yang terjebak dengan penagihan.

“Saya doakan di tempat baru nanti, semuanya akan kekal sama seperti di sini (Kuala Lumpur), malah jauh lebih baik,” katanya.

Radhi berkata, hanya mereka yang pernah mendapatkan rawatan di PENGASIH memahami betapa pusat berkenaan bukan saja merawat, malah menjadi institusi keluarga kepada mereka, terutama yang menghadapi masalah dibuang keluarga.

Menurutnya, dia sendiri selepas ini akan tetap ke Bentong untuk bersama-sama 'adik beradik' yang lain kerana hubungan yang begitu akrab serta keikhlasan bersaudara yang diterapkan di situ begitu Islamik dan menyentuh hati.

“Mungkin selepas ini jauh sikit, kalau di sini, sebulan dalam dua tiga kali, tapi di Bentong nanti saya harap dapat bersama-sama dengan mereka lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 7:55 PM
PENGASIH bakal dipindahkan Kompleks Rawatan dan Pemulihan di Cinta Manis, Bentong, Pahang dalam tempoh 10 bulan lagi. FOTO NSTP