ZETY (kanan) bersama anak murid yang mengikuti kelas tuisyen diajarnya.
Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my


SEORANG guru tadika swasta nekad membanting tulang mengajar kelas tuisyen bagi mengumpul duit perkahwinan yang bakal berlangsung tahun depan.

Perasaan malu dan penat ditolak ke tepi, sebaliknya Zety Syuhaizah Rohaizat, 24, berusaha menambah pendapatan kerana dia dan pasangannya, Muhammad Noor, 24, bakal mendirikan rumah tangga pada Ogos tahun depan.

Sebaik selesai bertugas sebagai guru tadika di Subang Jaya, dia memenuhi tuntutan itu ke lokasi ditetapkan untuk mengajar subjek Bahasa Melayu (ejaan) dan Bahasa Inggeris bagi murid bakal menduduki peperiksaan.

“Kami bertunang pada 15 Jun lalu dan dia (tunang) mengajak bernikah tahun depan. Jadi, sudah pasti saya perlukan duit banyak untuk membuat persiapan menyebabkan saya mengadakan kelas tuisyen.

“Lagipun, ayah sudah tidak bekerja manakala ibu meninggal dunia ketika saya berumur empat tahun. Saya sudah biasa, malah tidak kekok untuk mencari duit lebih asalkan impian kami tercapai,” kata anak ketiga daripada empat beradik.

Menurutnya, kelas tuisyen dijalankan di rumah murid di sekitar Klang, Shah Alam dan Subang Jaya.

Katanya, sebelum ini dia pernah mengajar tuisyen di Gombak, namun bulan lalu adalah kelas terakhir memandangkan ramai murid bakal menduduki UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) serta sibuk dengan kelas tambahan.

“Setakat ini, saya mempunyai 12 murid berusia daripada empat hingga 12 tahun selain mengajar kanak-kanak membaca dan mengeja.

“Ia sesuai sangat kerana saya memang minat mengajar murid.

“Mengenai bayaran, ada ibu bapa membayar ikut jam dan bulanan. Semuanya bergantung kepada ibu bapa masing-masing sama ada mahu mengikut jam atau hari,” katanya yang menjadi guru tadika sejak 2016.

Dikenali sebagai ‘Home to Home Tuition by #teacherzety’, gadis berasal dari Klang itu berusaha memastikan murid dan kanak-kanak yang diajar memahami secepat mungkin.

“Ada ibu bapa meminta saya mengajar anak mereka membaca walaupun mereka sudah bersekolah, tapi belum lancar.

“Jadi, saya diamanahkan mereka untuk memastikan anak-anak boleh membaca dan mengeja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 11:15 PM