ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat Muhammad Afizuddin yang lemas selepas dipercayai tergelincir daripada kapal tunda tempatnya bertugas. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


PENUNTUT Kolej Vokasional Ranaco di Chukai, Terengganu yang hilang dipercayai terjatuh ke laut di Pantai Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini, Ahad lalu ditemukan lemas, semalam.

Mayat Muhammad Afizuddin Aidzuhan, 20, ditemui terapung lengkap berpakaian jam 12.45 tengah hari di 3.9 batu nautika barat laut dari lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka/Negeri Sembilan Komander Maritim Azman Samsudin berkata, mayat mangsa ditemui nelayan, Saiful Kamaruddin, 30, yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Pelabuhan Perikanan Kuala Linggi sebelum dinaikkan jam 1.09 tengah hari untuk pengecaman ahli keluarga yang berada di lokasi SAR sejak 10.30 malam kelmarin.


SALMAH sebak ditenangkan ahli keluarga selepas mengetahui berita anaknya, Muhammad Afizuddin ditemui lemas. FOTO Rasul Azli Samad

“Ahli keluarga mengesahkan mayat berkenaan adalah Muhammad Afizuddin. Ketika ditemui mangsa berpakaian sama seperti kali terakhir dilihat.

“Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Pelabuhan Perikanan Kuala Linggi di sini, semalam.

Dalam kejadian itu mangsa bersama enam kru bot tunda Tag Nur 3 bertugas menjaga kapal Bunga MAS 6 yang digunakan oleh MISC untuk kelas pengajian dan latihan penuntut Akademi Laut Malaysia (Alam) di Kuala Linggi.

Mangsa dipercayai terjatuh ke laut ketika melangkah dari kapal berkenaan ke bot tunda itu yang ditambat rapat dengan kapal berkenaan.

Mayat mangsa dijumpai kira kira 3.9 batu nautika di barat laut lokasi kejadian pada jam 12.45 tengah hari ini.


MUHAMMAD Afizuddin

Portal berita Harian Metro kelmarin melaporkan, penuntut berkenaan hilang dipercayai terjatuh ke laut kira-kira dua batu nautika dari Pantai Tanjung Dahan, Kuala Linggi, dekat sini.

Mangsa, Muhammad Afizudin, 20, yang sedang menjalani latihan praktikal selama enam bulan dengan sebuah syarikat operator pelabuhan dipercayai terjatuh ketika cuba melompat dari Kapal Bunga MAS 6 milik Akademi Laut Malaysia (Alam) ke bot tunda Tag Nur Tiga, jam 11.50 malam.

Bagaimanapun, kehilangannya hanya disedari pagi kelmarin apabila enam kru bot tunda itu ingin menghadiri perhimpunan pagi.

Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan bot untuk menjalankan kerja SAR dibantu Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di perairan sekitar 25 batu nautika di sekeliling lokasi kejadian sebelum diperluaskan sehingga 70 batu nautika, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 5:30 AM