TIGA daripada lapan beradik yang diselamatkan JKM. FOTO Khairunisah Lokman.
SITI mendukung adik bongsu berusia 14 hari selepas mereka diselamatkan JKM. FOTO Khairunisah Lokman.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


TIADA siapa yang mahukan keluarga porak-peranda dan diabaikan ibu bapa.

Namun, keperitan itu terpaksa ditelan gadis berusia 20-an apabila ibu bapanya lebih memilih untuk ‘berdamping’ dengan dadah, berbanding dirinya dan 10 adik termasuk bayi berusia 14 hari.

Derita itu mencapai kemuncak, hari ini apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah menyelamatkan lapan adiknya yang ketika itu berada di rumah mereka di Bukit Rambai, Melaka.

Menurut gadis dikenali Siti itu, lapan adiknya yang diselamatkan JKM berusia 15, 13, 11, 10, 5, 3, 12 bulan dan 14 hari, manakala dua adik lelakinya yang berusia 17 dan 14 tahun tidak berada di rumah.


KANAK-KANAK yang diselamatkan JKM. FOTO Khairunisah Lokman.

“Jauh di sudut hati tidak sanggup dan sedih melihat adik-adik terutama yang kecil terpaksa berpisah dengan ibu.

“Tetapi demi jaminan masa depan dan kehidupan yang lebih baik, biarlah mereka dijaga pihak bertanggungjawab,” katanya yang tinggal berasingan kerana sebelum ini menghuni pusat jagaan di bawah JKM sejak usia sembilan tahun.

Pada 3 pagi hari ini, JKM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Mencari Keberkatan (KMK) ke rumah lapan beradik itu selepas menerima aduan bahawa enam daripada mereka tidak bersekolah dan ibu bapa terbabit penyalahgunaan dadah.

Malah, difahamkan lapan beradik itu sering tidak cukup makan dan ketika diselamatkan mereka kelaparan.

Siti berkata, dia dan lapan adiknya (bermula adik keempat) berlainan bapa, namun masing-masing perlukan kasih sayang dan wajar dibesarkan dalam persekitaran sihat.

“Apabila mendapat tahu adik-adik diselamatkan JKM, saya rasa amat lega walaupun tahu mereka akan berdepan situasi sukar pada peringkat awal kerana berjauhan dengan ibu.

“Selain mengharapkan adik-adik mendapat kehidupan yang baik, saya juga berdoa ibu akan berubah demi kami semua,” katanya ketika ditemui.

Gadis itu mengakui konflik dalam keluarganya menyebabkan dia dalam lindungan JKM sejak berusia sembilan tahun.

Sementara itu, Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik berkata, pihaknya terbabit operasi dengan pasukan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bermula 8 malam semalam.

Katanya, dalam operasi itu, menahan ibu bapa lapan beradik terbabit sebelum semua kanak-kanak itu diselamatkan.

“Ketika serbuan di rumah itu, kita menyelamatkan empat kanak-kanak perempuan dan empat lelaki termasuk bayi setahun dan 14 hari. Manakala, dua remaja 17 dan 14 tahun tiada di rumah.

“Semua mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah jagaan sementara di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (pindaan) 2016 di Institusi JKM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:58 PM