Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


POLIS menahan lelaki berusia 40 tahun selepas dipercayai mendera dua anaknya berusia 12 dan 15 tahun di rumah mereka di Simpang, Taiping, sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan, penderitaan dua beradik itu terbongkar jam 5 petang, Selasa lalu, selepas seorang mangsa mendapatkan bantuan jiran dan membuat laporan polis mendakwa dipukul suspek.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa iaitu kakak serta adik lelakinya itu dipercayai menjadi mangsa dera berdasarkan kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Katanya, perbuatan suspek terbongkar apabila mangsa iaitu anak lelakinya mendapatkan bantuan jiran selepas dipukul menggunakan rotan hanya disebabkan tidak membeli barangan dapur.

“Suspek dipercayai menyuruh mangsa membeli barang dapur namun dia tidak mempunyai duit untuk membeli barang dapur.

“Selepas itu, suspek memarahi dan memaki mangsa, suspek juga memukul mangsa menggunakan rotan di punggung, betis dan lengan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Osman berkata, kedua-dua beradik itu kini berada di wad Hospital Taiping dan pemeriksaan kesihatan dilakukan bagi mengenalpasti kesan penderaan ditemui pada tubuh badan mangsa.

Katanya, kesan penderaan lama dan baharu jelas kelihatan pada tubuh kanak-kanak lelaki berkenaan manakala kesan penderaan tidak jelas pada tubuh badan kakaknya.

Katanya, polis sudah menahan suspek dan direman bermula semalam sehingga Isnin ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 2:22 PM