Amran (empat dari kiri) menyampaikan tajaan kepada Tuan Mohd Asri (tengah) untuk menjayakan Program Titipan Kasih Harian Metro Korban 2019 bersama Dapur Penyet.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PROGRAM Titipan Kasih Korban Harian Metro memasuki fasa baharu apabila inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bakal menjelajah ke Kampung Lak Ol, Jajahan Sri Sakhon, Wilayah Narathiwat, Thailand pada 11 hingga 13 Ogos ini.

Lebih manis, program sulung TKHM di luar negara itu mendapat suntikan penajaan daripada Resepi Arena Sdn Bhd, francaisor bagi jenama Dapur Penyet.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, pemilihan lokasi Kampung Lak Ol adalah bagi melebarkan sumbangan TKHM kepada golongan memerlukan terutama umat Islam di luar negara.

Beliau berkata, ibadat korban sempena Aidiladha ini juga dianjurkan sebagai rasa syukur atas kejayaan Harian Metro sebagai akhbar yang mendapat kepercayaan pembaca setia melangkaui sempadan negara.

“TKHM pernah memenangi pingat perak bagi kategori Anugerah Khidmat Masyarakat Terbaik pada Anugerah Media Asia 2014 anjuran Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN - IFRA) atas kejayaan program di dalam negara.

“Justeru, kami mahu melebarkan sayap program ini, sekali gus membuktikan HM mampu menganjurkan program kebajikan di luar negara,” katanya pada majlis serahan penajaan Dapur Penyet di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Urusan Dapur Penyet, Amran Abd Hamid dan Pengarang Eksekutif (Komersial) Harian Metro, Husain Jahit.


Husain (kiri) bersama penduduk Kampung Lak-Ol selepas berbincang mengenai program TKHM.

Katanya, pihaknya merancang terus melebarkan program TKHM di luar negara pada masa depan, sekali gus membawa jenama HM di mata dunia.

Tuan Asri berkata, masyarakat luar negara mungkin tidak mengenali jenama Harian Metro, namun dalam dunia digital yang semakin berkembang pesat, semuanya menjadi mudah.

Sementara itu, Amran berkata, pihaknya bukan asing dalam program TKHM, malah terbabit dalam program sama pada Ramadan lalu.

Menurutnya, pihaknya memilih bekerjasama sekali lagi dengan Harian Metro selepas melihat kesungguhan akhbar ini dalam program CSR berkenaan.

“Ia selaras usaha Dapur Penyet untuk membantu insan yang memerlukan. Kerjasama Dapur Penyet dan Harian Metro ini sekali gus dapat meluaskan manfaat dan sumbangannya.


LEMBU yang akan dikorbankan dalam program TKHM pada 11 hingga 13 Ogos ini.

“Program ini memberi semangat dan inspirasi kepada pihak korporat dan masyarakat luar untuk terbabit dalam program kebajikan dan kesukarelawanan,” katanya.

Katanya, pada program ini, pihaknya menyumbang RM20,000 termasuk empat lembu. Program ini berlangsung di Masjid Darul Aman, Kampung Lak Ol dan membabitkan lebih 1,000 penduduk.

Pada majlis itu, seekor lembu ditumbangkan untuk hidangan tetamu dan penduduk, manakala selebihnya diagih-agihkan.

Perkampungan di selatan Thailand itu dipilih kerana ia kawasan majoriti penduduk Islam yang miskin dan kebanyakan daripada mereka golongan petani.

Seramai 15 kakitangan terdiri daripada pengurusan dan editorial Harian Metro terbabit dalam program berkenaan, selain enam wakil daripada Dapur Penyet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 6:10 AM