Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


DUA rakan sekerja maut selepas kenderaan pacuan empat roda Mitshubishi Triton dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 347, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun di Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan pada 2 petang, Shamsul Bahri Mangsor, 25, dari Batu Rakit, Kuala Nerus dan Muhammad Fairuz Firdaus Shafie, 29, dari Pengadang Baru, Kuala Terengganu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu Shamsul Bahri dari arah Dungun ke Kemaman terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh tebing lalu terhumban ke dalam parit.

Rempuhan kuat itu menyebabkan dua mangsa yang masih bujang itu tersepit di dalam kenderaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun terpaksa dipanggil ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan 10 minit kemudian, namun disahkan meninggal dunia sebelum mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.


SHAMSUL Bahri (kiri) dan Muhammad Fairuz Firdaus meninggal dunia selepas Mitshubishi Triton dinaiki mereka terbabas dan termasuk ke dalam parit di Kilometer 347 LPT2 dekat susur keluar Kuala Dungun, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.

“Dua mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Kuala Terengganu dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar minyak ke sebuah kapal berlabuh di Kemaman.

“Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:27 PM