ANTARA barangan kulit haiwan liar dilindungi yang dirampas Perhilitan dari premis di ibu kota, semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


JANA pendapatan lumayan hasil penjualan pelbagai barangan mewah diperbuat daripada kulit ular, buaya dan biawak di butik eksklusif terletak di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.

Bagaimanapun, perniagaan milik seorang lelaki tempatan berusia 30-an itu melanggar undang-undang apabila didapati tidak mempunyai lesen dan permit sah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Susulan itu, ratusan barangan membabitkan dompet, tali pinggang, beg tangan dan beg pinggang bernilai sekitar RM1 juta dirampas dalam operasi, semalam.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan dilakukan susulan risikan pihaknya terhadap premis di Bukit Bintang itu.

Katanya, maklumat mendapati premis itu menjalankan perniagaan barangan diperbuat menggunakan kulit haiwan.

“Dalam operasi sekitar jam 11 pagi, 11 anggota Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat pemeriksaan terhadap premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, peniaga yang menjalankan perniagaan itu didapati tidak mempunyai lesen serta permit sah dikeluarkan Perhilitan bagi menjual barangan berasaskan kulit haiwan dilindungi,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya merampas ratusan barangan membabitkan tali beg, tali pinggang, sarung telefon, penyimpan kad, dompet, beg pinggang, sarung pistol, beg tangan besar dan gelang tangan dijual di premis itu.

“Pengurus syarikat itu turut ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Semua barangan dirampas dianggarkan bernilai RM1 juta dibawa ke Pejabat Perhilitan Wilayah Persekutuan untuk tindakan lanjut.

“Suspek akan disiasat mengikut Akta Hidupan Liar 2010 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, operasi akan diteruskan bagi mengesan kedai cenderamata, butik atau kedai barangan mewah berasaskan kulit haiwan liar dilindungi.

“Langkah ini bertujuan memastikan kulit atau trofi digunakan bagi menghasilkan barangan itu bukan diperoleh daripada kegiatan pemburuan haram atau sindiket,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:10 AM