PEGAWAI Bahagian Perkhidmatan Farmasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merampas pelbagai ubat-ubatan tidak berdaftar.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


BUKAN hanya menjual barangan runcit, malah puluhan kedai milik warga China yang tumbuh rakus di ibu kota menjadi pusat mengedarkan ubat-ubatan haram dari China.

Aktiviti itu dibuktikan susulan tindakan pihak berkuasa menggempur pasar mini dan kedai runcit milik warga asing ini melalui operasi Op Sifu diadakan besar-besaran semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, pihaknya menjalankan risikan sejak dua bulan lalu susulan aduan diterima berhubung premis perniagaan yang menjual pelbagai ubat-ubatan buatan China tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, hasil risikan dilakukan pihaknya mendapati kebanyakan premis menjual produk buatan China ini beroperasi sekitar ibu kota.

“Mereka menjual produk mengandungi racun berjadual dan produk kesihatan yang tidak berdaftar secara berleluasa.

“Kegiatan ini didalangi warganegara China dan kebanyakan produk ini diseludup dari China,” katanya.

Menurutnya, aktiviti penjualan racun berjadual dan produk kesihtan tidak berdaftar ini dijual secara terbuka di dalam kedai runcit atau pasar mini kepunyaan peniaga China.

“Kawasan sasaran operasi adalah kawasan yang dihuni ramai warga China,” katanya.

Beliau berkata, susulan bukti dikumpulkan, satu operasi khas membabitkan 60 pegawai Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta ibu pejabat Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM melakukan serbuan mengejut jam 10 pagi semalam.

“Sebanyak sembilan premis perniagaan warga China diperiksa dan diserbu serentak. Ia membabitkan premis di Taman Maluri, Jalan Pudu, Taman Usahawan Kepong, Taman Desa, Jalan Klang Lama dan Jalan Kuchai Lama di sini.

“Hasil serbuan itu, sebanyak 315 jenis produk ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM130,000 dirampas,” katanya.

Menurutnya, ubat-ubatan dan produk kesihatan tidak berdaftar dirampas itu didapati dipamerkan secara terbuka di semua premis yang diserbu.

“Antara ubat-ubatan yang dirampas membabitkan ubat antibiotik yang mengandungi amoxicillin, tetracycline dan cefuroxime.

“Selain itu terdapat ubat antihistamine yang mengandungi loratadine dan cetirizine serta ubat NSAIDS (anti-radang bukan steroid) yang mengandungi ibuprofen dan mefenamic acid.

“Semua bahan kimia itu adalah racun berjadual yang dikawal mengikut Akta Racun 1952. Siasatan lanjut ke atas semua premis akan diteruskan mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952,” katanya.

Menurutnya, perbuatan memiliki atau menjual produk kesihatan tidak berdaftar dengan KKM adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Sementara itu, tinjauan mendapati kebanyakan premis diserbu dikendalikan lelaki atau wanita warga China yang tidak boleh berbahasa Melayu.

Mereka dilihat terkejut dengan kehadiran pegawai KKM dan akur terhadap tindakan undang-undang.

Harian Metro semalam mendedahkan kewujudan rangkaian perniagaan warga asing China yang aktif membuka perniagaan runcit di Lembah Klang.

Mereka didapati gemar membuka pasar mini, kedai runcit dan premis menjual ubat-ubatan tradisional dengan menjadikan rakyat tempatan sebagai sleeping partner (rakan niaga tidak aktif).

Waspada ubat tanpa kelulusan

Berhati-hati dan jangan sewenang-wenang membeli ubat-ubatan tanpa notifikasi dan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Itu amaran diberikan susulan lambakan dan kebanjiran ubat-ubatan haram diseludup secara besar-besaran dari Bangladesh, Indonesia, Thailand dan China ke negara ini.

Lebih membimbangkan apabila ubat-ubatan ini diharamkan dijual di negara asal sebelum diseludup masuk untuk pasaran tempatan susulan permintaan dari warga mereka yang bekerja di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, pengguna perlu sentiasa berhati-hati membeli ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik untuk mengelakkan bahaya yang mungkin timbul apabila menggunakan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.

Menurutnya, produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag pada bungkusannya.

“Semua pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual (Ubat Terkawal) adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952 yang perlu dipatuhi pengamal perubatan dan ahli farmasi.

“Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman http://npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk itu,” katanya.

Orang ramai turut boleh menghubungi 03-78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:30 AM