ANNE-MARIE sentiasa belajar untuk jadi lebih berkeyakinan tapi pada masa sama merendah diri.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


APA saja jalan dipilih dalam hidup, setiap orang pasti menjadikannya sebagai satu kembara mencari diri sendiri. Bergelar bintang pop kini, Anne-Marie juga melalui proses sama dalam perjalanan kariernya.

Penyanyi berusia 28 tahun dari Britain ini mengakui, setiap fasa dilaluinya adalah pembelajaran yang sangat bermakna.

Bukan sekadar menjadi artis, tetapi dalam pelbagai aspek yang memerlukan kudratnya.

Anne-Marie yang memulakan kerjaya nyanyian pada 2013 berkata, semua itu mengajarnya erti syukur dan bukannya hanyut dengan kemasyhuran semata-mata. Sebaliknya, nilai positif dalam dirinya dijadikan panduan hidup.

“Banyak perkara saya belajar mengenai diri sebagai penghibur. Ketika pertama kali membuat persembahan dengan Rudimental, saya fikir mampu lakukannya sehinggalah naik sendiri ke atas pentas.


KONSERT Anne-Marie di KL Live mendapat sambutan ramai.

“Tentu sekali saya belajar cara menjadi lebih yakin tapi pada masa sama sentiasa merendah diri. Saya ambil semua pengalaman ada dan membuatkan saya lebih teruja. Pada masa sama gementar untuk membuat persembahan,” katanya ketika temu bual bersama RAP, baru-baru ini.

Walaupun meminati bidang nyanyian sejak kecil, Anne-Marie tidak pernah menetapkan diri untuk menjadi penyanyi. Pada awalnya, dia memang tidak tahu cara untuk bermula.

“Saya sebenarnya tidak pernah jangka apa akan berlaku dalam hidup saya. Saya sangat cintakan karate, nyanyian dan banyak perkara lagi.

“Saya mula menyanyi seawal usia lima tahun dan memang sangat cintakan nyanyian. Bagaimanapun, saya tidak tahu cara merealisasikannya disebabkan tidak kenal sesiapa dalam industri muzik,” katanya.

Ketika kanak-kanak, Anne-Marie pernah menjayakan beberapa pementasan muzikal di bawah produksi West End. Selain Les MisÈrables, dia turut berlakon di samping penyanyi Jessie J dalam Whistle Down the Wind.

“Pementasan muzikal sangat berbeza dengan muzik yang saya lakukan sekarang. Saya rasa apa yang saya belajar daripada pementasan muzikal adalah untuk sentiasa menyampaikan mesej atau cerita dalam lagu.

“Itulah elemen yang saya cuba masukkan dalam menghasilkan lagu pop. Saya tidak mahu cuma buat lagu pop yang tidak membawa apa-apa mesej sebaliknya lagu saya kena sentiasa bawa makna tersendiri,” katanya.

Namun, Anne-Marie mengakui pementasan muzikal bukan keutamaannya sekarang memandangkan banyak perubahan berlaku dalam dirinya.

“Saya memang suka menonton pementasan muzik sekarang. Bagaimanapun, saya rasa suara saya kini sangat berbeza berbanding sebelum ini.

“Dulu, suara saya sangat terlatih untuk nyanyian muzikal namun sekarang sangat berbeza. Kalau saya kena lakukannya semula, saya terpaksa ubah cara nyanyian semula,” katanya.

Baru-baru ini, Anne-Marie berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert sulungnya di KL Live, Jalan Sultan Ismail, malam kelmarin.

Dalam konsert yang dihadiri lebih 1,000 penonton itu, ternyata aura penghiburnya sangat hebat dan bertenaga.

Walaupun mengakui letih, ia tidak menggugat langsung staminanya di pentas. Malah, sorakan peminat untuk setiap lagunya membuktikan dia berjaya menghidupkan suasana.

Pada konsert berkenaan, Anne-Marie mempersembahkan 14 lagu antaranya Ciao Adios, Cry, Do It Right, Bad Girlfriend, Alarm, Heavy, Perfect To Me, Can I Get Your Number, Let Me Live, Trigger, Don’t Leave Me Again, Then, Rockabye, 2002 dan Friends.

CINTAI KARATE, PERKASA WANITA

Anne-Marie juga hebat dalam seni mempertahankan diri karate dan pemegang tali pinggang hitam itu pernah menjadi jurulatih sukan berkenaan. Dia juga tidak pernah berhasrat meninggalkan terus bidang itu.

“Saya mula terbabit dengan karate ketika berusia sembilan tahun di bawah jurulatih terbaik. Kelas saya sangat cepat iaitu selama empat tahun saja disebabkan saya terus ambil kelas peringkat tinggi.

“Sebelum menjadi penyanyi, saya banyak mengajar karate dan mahu kembali melakukannya selepas ini. Bukannya lupakan terus,” katanya.


TAK akan tinggalkan karate.

Selain itu, Anne-Marie juga antara artis yang sentiasa memperjuangkan mesej memperkasakan wanita.

“Saya membesar sebagai remaja yang penuh dengan waktu sukar. Saya berusaha untuk belajar mengatasinya dan sambil belajar, saya juga menyuarakannya dengan lantang.

“Saya mahu orang lain juga boleh merasai perjalanan saya itu dengan berkongsi apa yang saya lalui. Saya harap perkongsian itu akan membantu ramai orang bukan saja wanita tetapi semua orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:01 AM