PEMAIN Perak, Rainderson Morais (kiri) cuba melepasi pemain Kuala Lumpur, Luke Zantua Woodland pada saingan Liga Super, Ahad lalu.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


LALUAN berliku menanti juara bertahan, Perak apabila diundi bersama naib juara Liga Super 2019, Pahang dalam Kumpulan C pada kempen Piala Malaysia edisi ke-93 tahun ini.

Pahang, Pulau Pinang serta juara Liga Perdana 2019, Sabah yang turut bersaing dalam kumpulan sama pastinya tidak memberi laluan mudah buat skuad The Bos Gaurus (TBG).

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, menentang Pahang sekali lagi, Sabah dan Pulau Pinang bukan mudah kerana semua pasukan mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

“Kami tetap dengan sasaran layak ke final dan akan buat yang terbaik. Saya amat yakin dengan pemain saya kerana pasukan kami juga membariskan antara pemain terbaik.

“Dalam Piala Malaysia apa saja boleh berlaku, kami kena fokus dalam 90 minit perlawanan dan harap layak,” katanya.

Saingan Kumpulan A pula dilihat seimbang membabitkan Terengganu selaku naib juara musim lalu yang diundi bersama-sama finalis Piala FA 2019, Kedah, serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Negeri Sembilan.

Pengendali sementara Terengganu FC, Nafuzi Zain pula berkata, saingan membabitkan kumpulan A bukan mudah kerana lawan yang bakal dihadapi antara pasukan terbaik di dalam negara ini.

“Harapan saya semua pemain kekalkan konsisten untuk Piala Malaysia dan perbaiki dari semua segi. Setiap perlawanan penting untuk dapat mata dan layak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berentap dengan Petaling Jaya City FC yang mencalar rekod bersih mereka di laman sendiri pada aksi Liga Super, selain berdepan saingan PKNP dan UiTM FC dalam Kumpulan B.

Melengkapkan saingan 16 pasukan di Piala Malaysia adalah juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor yang diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Melaka United, Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Biarpun nampak seimbang, Selangor yang menduduki tangga ketiga Liga Super dan Melaka United dilihat pasukan berkemampuan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagi Jurulatih Selangor, B Sathianathan bola sepak sekarang sukar dijangka dan apa sahaja boleh berlaku.

“Kita akan melakukan yang terbaik. Kita sudah capai sasaran empat pasukan terbaik Liga Super.

“Pemain kena fokus perlawanan demi perlawanan dalam kumpulan dulu, jangan fikir separuh akhir dan final dulu. Siapa cakap undian kumpulan D laluan mudah untuk Selangor, dia tidak tahu bola sepak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:01 AM