KOPERAL David. FOTO Ihsan pembaca
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


“ANAK saya seorang yang kuat dan berani. Selepas empat hari hilang, saya hanya mahu dia ditemui dan tidak kisah dalam apa juga keadaan,” kata Edmund Rapi Idal, 71, bapa kepada anggota tentera, Koperal David, 39, yang dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi di Pulau Perak, Kedah sejak Jumaat lalu.

Edmund Rapi berkata, berita kehilangan anak ketiganya daripada enam beradik itu sangat mengejutkan memandangkan tarikh kehilangan itu adalah ulang tahun kelahiran anaknya yang ke-39.

“Saya tidak dapat gambarkan apa perasaan saya sekarang, tetapi kami sekeluarga terus berdoa agar dia ditemui bersama rakannya.

“Segala perkembangan berkenaan kejadian, kami akan dapatkan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” kata pesara polis itu ketika dihubungi.

David dari Kampung Baru Dalat yang juga anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD) dilaporkan hilang bersama rakannya, Lans Koperal Moses Logers, 25.

Edmund Rapi berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya pada Jun lalu.

“Ketika itu, dia balik kampung tetapi kami tidak sempat berbual banyak kerana saya perlu ke Kuala Lumpur, manakala isteri saya perlu ke Kuching untuk rawatan kanser payudara yang dihidapinya.

“Kami sekeluarga sentiasa berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan di situlah kami bertanya khabar masing-masing,” katanya.

Sementara itu, dia juga berharap bekas isteri dan dua anak David yang berusia lima dan 10 tahun ambil maklum berkenaan berita itu.

“Saya harap mereka akan terus bersabar,” katanya.

Pulau Perak terletak kira-kira 60 batu nautika barat daya Langkawi dan 70 batu nautika barat laut Pulau Pinang.

Pulau yang mempunyai tebing curam yang berketinggian lebih 100 meter ini adalah daratan terhujung barat Semenanjung di perairan Selat Melaka.


GAMBAR kenangan Edmund (dua dari kiri duduk) bersama David (kiri depan) ketika zaman anaknya masih kanak-kanak. FOTO Ihsan Keluarga Edmund Rapi Idal

Berita berkaitan:

  • SAR masih diteruskan
  • 'Doakan mereka selamat'
  • 2 tentera hilang di Pulau Perak
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 3:04 PM