‘LUKA’ dilukis oleh Nurul Iman (kanan). (Gambar kiri) “Perkhidmatan” melukis luka yang disediakan Nurul Iman. FOTO Ihsan Twitter Nur Atifah
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


“IMAN melukis ‘luka’ itu dua minggu lalu dengan cuba melukisnya di tangan adiknya. Apabila tunjuk pada ibunya, ibunya takut sebab ingatkan anaknya jatuh dan mengalami cedera yang teruk.

“Selepas diteliti, rupa-rupanya luka itu dilukis Iman,” dedah ibu saudara kepada Nurul Iman Syuhada Noryzal, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang menjual bakat dengan melukis ‘luka’ untuk rakannya di Shah Alam.

Ibu saudara Iman, Nur Atifah Abdul Razak, 21, ketika dihubungi Harian Metro, berkata anak saudaranya itu mula menunjukkan minat selepas menonton video lima minit cara melukis luka di FB (Facebook).

Dengan menggunakan alat mewarna seperti pensil warna dan ‘magic colour’, Iman cuba melukis dan tidak sangka hasilnya nampak realistik.

“Iman sangat teruja apabila guru-guru dan rakan-rakannya di sekolah tahu kisahnya sudah tular.

“Kami sekeluarga pun tak sangka bakat dia dipandang tinggi dan disokong oleh orang ramai sokong bakat dia,” kata Atifah.

Lebih mengujakan apabila Iman mengambil khidmat melukis luka dan lebam dengan caj 50 sen saja.

“Setakat ini, dia tidak mahu terlalu mendedahkan bakatnya walaupun boleh ‘buat duit’ sebab di sekolah ada peraturan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 9:00 PM