SYED Saleh Syed (tiga, kiri) meraikan sambutan hari lahir Abdul Gapak (empat, kiri) di Abraj Janadriyah hari ini. FOTO Bernama
Yusri Abdul Malek
yusrimalek@hmetro.com.my


USIANYA sudah mencecah 101 tahun, namun Abdul Gapak Mahmud masih sihat dan tidak ada sebarang penyakit.

Beliau mengamalkan diet memakan ikan, ayam dan daging direbus atau dibakar serta tidak memakan masakan berminyak atau bersantan.

Anak keturunan Bajau Ubian berasal dari Sulawesi Utara itu dan sudah menetap di Kudat, Sabah ditemani isteri, Siti Maimon Hassan, 60, untuk mengerjakan haji tahun ini.

Abdul Gapak antara dua jemaah haji tertua dari Asia Tenggara dan dilahirkan pada 3 Julai 1918.

Pergerakan Abdul Gapak agak perlahan, tetapi pertuturan dan pendengaran masih jelas kecuali dia lebih banyak berbahasa Bajau.

Jemaah tertua adalah seorang wanita, Tiwa Bajarin, 103, berasal dari Pamekesan, Surabaya, Indonesia.

Menurut laporan Tribunnews.com, Tiwa datang seorang diri tanpa ditemani waris walaupun perlu berkerusi roda.


SYED Saleh (kiri) beramah mesra dengan Abdul Gapak (tengah) dan Siti Maimun pada majlis sambutan hari lahir jemaah haji tertua Malaysia itu. FOTO Bernama

Menurut Abdul Gapak, dia sangat gembira berada di Tanah Suci bersama isteri untuk mengerjakan haji.

“Saya sangat syukur dapat datang sini dan sangat gembira. Alhamdullilah," katanya ketika ditemui selepas diraikan pada satu sambutan hari jadinya ke 101 oleh Muassasah Asia Tenggara di Abraj Al-Janadriyah di Makkah.

Hadir sama, Ketua Muassasah Asia Tenggara Mohamad Amin Hassan Andaqiri dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Abdul Gapak menerima cenderamata dan sebiji kek.

Selain mengamalkan makan ikan, ayam dan daging direbus atau dibakar, Abdul Gapak tidak makan sebarang sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Sayur saya tidak makan, tetapi saya syukur Allah bagi umur panjang dan sihat," katanya yang memiliki enam anak dan pernah menjadi nelayan ketika muda.

Beliau mengakui kuat merokok, tetapi sudah lama berhenti.

Maimon, 60, pula berkata, dia dan suami tidak berasa risau berada di Tanah Suci, malah senang hati.

"Saya serah kepada Allah...Hidup dan mati adalah ketentuanNya. Keluarga tidak perlu risaukan kami.

“Walaupun sudah tua untuk mengerjakan haji, kami berserah sepenuhnya kepada Allah," katanya yang baru tiba di Makkah pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, dia dan suami berharap dikurniakan kesihatan yang baik bagi membolehkan mereka mengerjakan rukun dan wajib haji dengan sempurna.

“Walaupun pergerakan suami agak terbatas, saya akan bantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 9:04 AM