ANGGOTA Perhilitan melihat harimau yang ditangkap di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Jumaat lalu. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


KUALA NERUS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak menolak kemungkinan harimau Malaya yang ditangkap di Kampung Besul, Bukit Besi, Jumaat lalu diserang penyakit Canine distemper.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Canine distemper adalah sejenis penyakit berpunca daripada virus yang lazimnya menyerang kucing dan anjing domestik.

Menurutnya, virus sama juga dilaporkan kerap menyerang haiwan liar lain seperti harimau, serigala dan musang.

“Harimau yang normal tidak akan tolak (makan) orang atau ternakan. Jika tidak makan pun dia akan tampar (serang) kerana itu naluri atau tabiat semula jadi haiwan ini. Namun dalam kes ini, harimau itu tidak mencederakan manusia atau ternakan yang ditemui.


PERANGKAP yang dipasang anggota Perhilitan. FOTO Rosli Ilham

“Perkara ini mungkin disebabkan harimau diserang Canine distemper, ia menjadi seperti bingung dan tidak dapat membezakan sifat pemangsanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, semalam yang turut dihadiri Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Abdul Kadir berkata, perkara itu berdasarkan pemerhatian awal pakar haiwan liar daripada Perhilitan dan Jabatan Veterinar Terengganu yang terbabit dalam operasi menangkap harimau itu.

Katanya, perkara itu hanya dapat disahkan selepas keputusan ujian darah diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.

“Selain berkemungkinan diserang virus, mungkin ia memang mengalami kecacatan sejak kecil. Apa pun kita perlu tunggu keputusan makmal sebelum tindakan susulan boleh diambil.


ABDUL Kadir. FOTO Rozainah Zakaria

“Ketika ini, harimau itu ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NRWC) di Sungkai, Perak dan menurut maklumat daripada petugas, ia mula beransur pulih, kelihatan lebih sihat dan dapat makan serta minum dengan baik,” katanya.

Pihaknya percaya hanya seekor harimau yang sesat dan memasuki kampung berkenaan, sekali gus menolak dakwaan penduduk.

“Orang kampung kata ada dua harimau sesat, tapi hasil siasatan kita yakin hanya seekor, ini berdasarkan penelitian tapak kaki ditemui, saiznya sama saja.

“Selain itu kita juga jumpa kesan tapak kaki yang lain dipercayai harimau kumbang kerana penduduk juga memaklumkan kewujudan haiwan liar itu.

“Atas sebab keselamatan pemantauan dan usaha menjejaki haiwan diteruskan bagi tempoh dua minggu lagi, perangkap juga dipasang,” katanya.

Dia memberitahu, pada kelaziman harimau jantan tidak bergerak dalam kumpulan seperti harimau atau singa betina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:15 AM