BAZZI minat sukan bola keranjang dan makanan.. FOTO: Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


MALAYSIA kerap menjadi pilihan pemuzik dari luar negara untuk disinggahi. Antara sebab utama Malaysia menjadi pilihan mereka adalah kerana keghairahan peminat muzik kita untuk menerima karya dari luar secara terbuka.

Terbaharu, muncul penyanyi asal Amerika Syarikat yang namanya semakin kukuh dalam industri seni muzik dunia, Bazzi.

Popular menerusi beberapa karya yang memanjat carta lagu di stesen radio berbahasa Inggeris tempatan, anak kelahiran Michigan ini berkongsi beberapa pengalaman dan pendapatnya mengenai Malaysia.

“Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di Malaysia. Sebelum ini, saya hanya berinteraksi dengan peminat dari Malaysia menerusi media sosial dan rata-rata, menyuarakan supaya saya hadir ke sini dan membuat persembahan,” katanya.

Di sesi temu bual yang berlangsung penuh santai itu juga, Bazzi atau nama sebenarnya Andrew Bazzi berkata, dia sendiri dapat berasakan satu ‘tenaga’ daripada peminat muzik Malaysia.

“Antara benda yang membuatkan saya ingin hadir ke sini adalah industri seni muzik dan hiburan. Daripada apa yang saya tahu, industri seni muzik negara ini mendapat perhatian peminat yang sentiasa ghairah dan dahagakan karya muzik.

“Sebagai pemuzik, ini adalah satu petanda positif sekali gus menjadi alasan yang menggamit saya untuk hadir,” katanya.


BAZZI mempersembahkan lebih 20 lagu hit pada konsert bazzi live in kl 2019, Jumaat lalu.

Bazzi yang kini berusia 22 tahun juga berkongsi beberapa hal mengenai muzik dan karyanya.

“Apa yang membezakan saya dengan pemuzik lain adalah saya hasilkan muzik untuk diri terlebih dahulu. Ya, saya hasilkan muzik untuk dengar sendiri.

“Ini penting dan seperti sudah menjadi sebahagian daripada diri saya. Jadi, apabila rasakan karya ini sesuai untuk dikembangkan, saya buat keputusan untuk kongsikan dengan orang lain.

“Ia adalah mengenai karya seni dan bagaimana ia dihasilkan. Sedikit sebanyak, ini membezakan diri saya dengan orang lain,” katanya.

Beberapa hal lain yang mungkin peminat tidak tahu mengenai Bazzi adalah dia begitu meminati sukan bola keranjang dan makanan.

“Mungkin ramai tak tahu, saya terlalu cintakan dunia sukan bola keranjang. Bukan saja menonton, bahkan saya pun kerap bermain bola keranjang apabila ada masa terluang.

“Selain itu, satu hal yang membuatkan saya kerap berkelana ke luar negara adalah untuk mencari makanan enak. Pada saya, makanan adalah satu tanda budaya yang mencerminkan ‘kekayaan’ sesuatu negara,” katanya.

KONSERT BAZZI LIVE IN KL 2019

Kehadirannya di Malaysia Jumaat lalu untuk bertemu dengan peminatnya dan pada masa sama, menjayakan acara konsert Bazzi Live in KL 2019.

Mengambil tempat di The Bee, Publika, konsert itu menyaksikan ruang acara dipenuhi dengan kehadiran penonton sehingga tiketnya habis terjual dalam masa yang sangat singkat.

Pada acara itu, Bazzi mempersembahkan lebih 20 lagu hit yang pernah dipopularkannya dan mendapat sorakan hebat daripada semua penonton.

Antara lagu yang disampaikan adalah Paradise, Beautiful, Dreams, Myself dan Mine.

Menurutnya, dia sendiri melakukan banyak persiapan untuk tampil bertenaga di pentas konsert yang bermula jam 9 malam itu.

“Selalunya, saya akan pastikan berada dalam keadaan tenang setiap kali sebelum tampil di pentas. Satu lagi persiapan wajib yang saya lakukan adalah memastikan diri berada dalam keadaan cergas.

“Itu penting kerana saya perlu tampil bertenaga untuk berinteraksi dengan peminat dan pada masa sama, bertenaga menyampaikan kesemua lagu,” katanya.

Pada acara konsert Bazzi Live in KL 2019 itu juga, Bazzi menyapa semua peminatnya dan meluahkan rasa teruja kerana dapat bersua muka dengan mereka.

Selain itu, melengkapkan kehadirannya di Malaysia, Bazzi berkongsi semangat dengan mereka yang ingin menjadikan muzik sebagai karier.

“Kepada mereka yang ingin memulakan karier muzik atau jadikan muzik sebagai kerjaya, ikut kata hati masing-masing dan jangan hiraukan kata-kata orang lain yang boleh menjatuhkan semangat.

“Hargai diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum buatkan orang lain menghargai diri dan karya kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:30 AM