LOFA mahu mudahkan orang ramai baca ayat suci sambil faham maksud.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SELEPAS menempa kejayaan dalam bidang seni dan perniagaan, pelakon, pengacara serta usahawan terkenal, Neelofa bakal terbabit dalam penerbitan bahan Islamik berbentuk audio visual iaitu terjemahan ayat suci al-Quran.

Neelofa, 30, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, perkara itu bagi memudahkan mereka yang ingin membaca dan pada masa sama memahami terjemahan ayat al-Quran.

Menurut Neelofa atau mesra disapa Lofa, dia sudah mempunyai contoh dan mendapat maklum balas baik daripada keluarga serta rakan yang terlebih dahulu melihatnya.

“Kalau buat carian di YouTube, tak ada video terjemahan dalam bentuk rakaman suara, semuanya bertulis.

“Jadi, bagi saya secara peribadi, susah kalau baca al-Quran dan pada masa sama nak baca tafsir lagi. Ia ambil masa. Kadang-kadang terlepas pandang maksud tertentu. Jadi, tak dapat sepenuh kefahaman.

“Asalnya saya nak buat untuk diri sendiri dan sudah ada contoh pun. Tapi, apabila saya kongsikan contoh yang sudah dibuat dengan rakan dan keluarga, semua memberi maklum balas baik. Mereka minta saya buat lagi,” katanya.

Mengambil kira pandangan dan manfaat kepada orang ramai daripada perkara itu, Lofa terus berbincang dengan pasukan untuk membuatnya secara lebih tersusun.

Malah, Lofa juga masih dalam peringkat perbincangan sama ada untuk menerbitkan bersama visual atau sebaliknya.

“Saya cakap dengan pasukan, nak buat perkara ini dengan lebih rapi iaitu buat rakaman di studio. Ada orang yang boleh perhatikan bacaan saya dan semak. Asalnya nak buat suara saja, tapi mereka cadangkan buat dengan visual sekali.

“Mungkin akan buat dengan isi kandungan yang lebih tersusun supaya boleh kongsikan dengan stesen televisyen atau mana-mana aplikasi Islamik yang nak gunakan.

“Pendek kata, asalnya untuk kegunaan sendiri, tapi boleh diperluaskan kepada orang ramai,” katanya.

Lofa yang juga pengacara program MeleTop berkata, dia belum menetapkan platform yang bakal digunakan untuk menerbitkan audio visual itu.

“Nak tayang di mana pun tak tahu lagi sebab belum putuskan sebarang platform. Saya baru nak susun semua dan selepas itu boleh tentukan siapa nak gunakan.

“Kalau boleh nak mulakan sesi rakaman sebelum saya pergi haji pada 4 Ogos ini.

“Dari segi bacaan, mungkin nak beli hak cipta daripada qari Wahid Zafar manakala bacaan terjemahan saja menggunakan suara saya.

“Saya nak buat semua juzuk, tapi kita mulakan dengan surah pendek dulu. Fasa kedua, surah pilihan dan kami akan lengkapkan satu al-Quran,” katanya.

TUNAI HAJI PADA USIA MUDA

Lofa yang merancang menunaikan haji buat kali kedua pada 4 Ogos ini berkongsi mengerjakan ibadat itu dalam usia muda sesuatu tidak perlu dipersoalkan.

Malah, Lofa yang kali pertama mengerjakan rukun Islam kelima ketika berusia 27 tahun menganggap ia memberikan pengalaman tersendiri.

Katanya, semakin ramai orang muda yang pergi untuk mendapatkan pengalaman haji atau umrah, masyarakat lebih terbuka mengenai perkara itu kerana orang menilai apa pengakhirannya.

“Macam saya, kunjungan umrah pada Syawal lalu memberi kesan sebab ada tiga kematian yang sangat memberi kesan pada saya iaitu kehilangan datuk, ayah saudara dan sepupu dalam tempoh lapan bulan dari November hingga Mei. Jadi, ia berkaitan ajal maut.

“Sejujurnya, sebelum ini tak pernah terfikir ke arah itu sebab rasa usia masih muda dan lambat lagi. Apatah lagi tidak pernah ada pengalaman kematian dalam keluarga. Rasa macam tua nanti baru nak buat semuanya.

“Tapi, apabila itu terjadi, keluarga saya pun menjadi lain dari segi keakraban dan kesedaran. Jadi itu juga memberi kesan kepada umrah saya baru-baru ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lofa dalam perancangan mengembangkan kerjaya seni ke negara seberang, Indonesia.

“Insya-Allah, saya nak masuk pasaran Indonesia pula. Saya berharap dapat direalisasikan tahun depan dan ia sedang diusahakan.

“Ia membabitkan pengacaraan dan lakonan. Doakan semuanya berjalan lancar dan baik-baik saja,” katanya.

Selain itu, Lofa bakal muncul dalam program Naura Shares bertemakan haji pada 9 Ogos, jam 9 malam di saluran Astro Naura (Saluran 125).

Menerusi episod itu, Lofa berkongsi pengalaman mengerjakan haji dan umrah, sekali gus memberi inspirasi kepada anak muda lain.

Selain Lofa, program itu turut menampilkan selebriti lain iaitu Atu Zero dan Adam Corrie serta pasangan suami isteri, Ahmad Mohd Isa dan Noradilah Mohd Sapie yang mengembara ke Tanah Suci Makkah dengan berbasikal selama lebih sebulan bagi menunaikan umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:15 AM