KEADAAN Nur Arina Husna selepas disahkan mengidap kanser darah. FOTO ihsan FB Jasmin Bakar
Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my


TIADA lagi gelak tawa dan kelincahan. Kini yang tinggal hanyalah terlantar menahan kesakitan.

Itulah penderitaan dialami Nur Husna Arina Mohd Hafiz, 2, selepas dikesan menghidap kanser darah hingga matanya semakin besar.

Anak bongsu daripada dua beradik itu dikesan mengidap kanser itu seminggu selepas Aidilfitri berikutan kerap demam serta sakit kepala.

Bapanya, Mohd Hafiz Mohd Yusof, 29, berkata hasil pemeriksaan di hospital mendapati terdapat ketumbuhan di belakang kepala Nur Husna Aina.

Katanya, ketumbuhan itu mengakibatkan urat tertarik hingga matanya semakin membesar.

“Terdapat juga ketumbuhan di belakang mata dan setiap hari, Nur Husna Arina akan menangis dengan menyebut ‘sakit’.

“Pada mulanya, dia hanya demam biasa kemudian kembali sembuh. Tapi demam datang semula lalu kami membawanya ke Hospital Balik Pulau,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia yang menetap di Tanjong, Pulau Pinang berkata, anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang sebelum disahkan mengidap kanser darah.

“Hati siapa tidak sedih apabila mendapat tahu penyakit anak. Dulu dia seorang yang aktif malah suaranya sentiasa memecah keheningan rumah ini.

“Tapi sekarang, dia terlantar menahan kesakitan. Dia boleh duduk tapi tidak lama kerana sakit,” katanya.

Kisah sedih Nur Husnai Arina tular selepas ibunya, Jasmin Bakar memuat naik status meminta orang ramai mendoakan anaknya sembuh selepas mengidap neuroblastoma tahap empat.

Dalam status itu, Jasmin menulis: “Ya Allah, bantulah anakku untuk sembuh dari penyakitnya.. Sihatkanlah kembali anak syurgaku ini.”

Mohd Hafiz berkata, Nur Husna Arina akan mula menjalani kimoterapi bermula esok.

“Dia tidak boleh makan banyak, kalau makan nasi, hanya satu atau dua suap. Doktor ada memberi ubat dan antibiotik serta menambah darah.

“Kami tidak mengharap apa-apa cuma minta rakyat Malaysia berdoa semoga Nur Arina Husna cepat sembuh. Kami mahu melihat dia kembali ceria seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 7:20 PM