ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa jenazah tiga beranak yang meninggal dunia dalam kebakaran empat buah rumah di Perkampungan Sungai Isap. (Gambar kecil) Siti Zaleha Abdul Rashid. FOTO Zulkepli Osman / Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


TIDAK sampai seminggu pemergian suami, Syed Kassim Syed Alwi, 61, Selasa lalu akibat angin ahmar, Siti Zaleha Abdul Rashid, 60, terpaksa menerima hakikat apabila kehilangan anak dan dua cucunya dalam kebakaran, hari ini.

Tambah pilu dia baru berjumpa dan sempat berbual dengan anak perempuannya Sharifah Azlina, 37, kelmarin yang pulang pada kenduri arwah di FELDA Chini, Pekan sebelum menerima perkhabaran duka itu.

Katanya, dia sempat bertanya khabar mengenai persekolahan dua cucunya.

“Makcik tak tahu nak cakap apa... ini ujian yang sangat besar buat makcik selepas arwah suami meninggal, kini anak dan cucu pula.

“Makcik reda dengan ujian ini. Hanya Allah yang tahu betapa berat dugaan yang terpaksa makcik pikul,” katanya di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi di Perkampungan Sungai Isap 2, Kuantan, Sharifah Azlina bersama dua anak lelakinya Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhammad Adam Daniel, 7, ditemui rentung di bilik belakang rumah.

Sementara suaminya Hairol Khalid, 38, dikatakan parah selepas terkena sambaran api ketika cuba menyelamatkan keluarganya.

Tiga yang lain turut cedera ialah adik kepada Sharifah Azlina, Syed Azman Syed Kassim, 25, dan isterinya Norazilah Abdullah, serta adik Norazilah, Nor Syawalina, 19, manakala Muhammad Alif Asyraf Syed Azman, 6, selamat.

Sementara itu, Nor Syawalina ketika ditemui di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berkata, dia terdengar jeritan ‘api’ berulang kali membuatkannya terbangun daripada tidur dan keluar menyelamatkan diri.

“Abang ipar (Syed Azman) jerit: ‘api, api.’

“Saya terus lari keluar bilik ikut pintu belakang rumah.

“Masa itu api sedang marak memang tidak sempat selamatkan yang lain, hanya ikut abang ipar lari dan selamatkan diri,” katanya.

Nor Syawalina kini menerima rawatan akibat mengalami sakit dada dan dijangka keluar dalam tempoh beberapa hari.

Difahamkan tiga mangsa yang terkorban dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chini sebaik proses bedah siasat selesai.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kebakaran berpunca dari ruang tamu rumah.

“Siasatan forensik sedang dijalankan, mungkin esok kita akan dapat tahu punca sebenar kebakaran,” katanya.

Berita berkaitan

Agong ucap takziah, zahir simpati

'Mak kejut, angkat saya lari'

Identiti 3 beranak dikenal pasti

Tiga beranak maut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 5:54 PM