Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan cadangan supaya pelajar institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan praktikal di industri mendapat bayaran elaun menerusi sesi Kabinet khas bagi membincangkan isu berkaitan anak muda.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, cadangan itu penting memandangkan terdapat ramai pelajar tidak mendapat bayaran dari tempat latihan praktikal mereka.

“Di situ (sesi Kabinet khas) saya akan mengusulkan isu latihan praktikal berbayar kerana masih ada ramai anak muda khususnya B40 dan M40 yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila mereka membuat latihan praktikal tetapi elaun kosong,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi video berdurasi satu minit itu di Twitter dengan menggunakan tajuk ‘Perlu ke kerajaan mewajibkan semua sektor untuk membayar interns? I agree & will fight for this in Cabinet’.

Video itu mendapat lebih 19,000 retweet pengguna sosial media.

Syed Saddiq berkata, sesi Kabinet khas membincangkan isu anak muda itu disambut baik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri lain memandangkan ia perlu diberi keutamaan.

“Semasa dalam mesyuarat jemaah menteri, saya membangkitkan pentingnya untuk rakan Kabinet memberikan memberi keutamaan kepada isu anak muda yang menjadi isu nasional,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pihak swasta sudah lama melaksanakan pemberian elaun kepada pelajar praktikal berbanding jabatan kerajaan.

Katanya, pihaknya turut berharap pihak kerajaan dapat memberikan insentif kepada majikan di sektor swasta seperti pengecualian cukai dalam usaha menarik lebih ramai memberikan elaun kepada pelajar praktikal.

Bagaimanapun cadangan itu tidak dipersetujui Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang melihat pemberian elaun kepada pelajar praktikal tidak wajar kerana ia proses pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, sekiranya kerajaan ingin memberikan elaun kepada pelajar praktikal di agensi kerajaan, peruntukkan perlu disediakan.

“Setakat ini kerajaan tidak menyediakan sebarang peruntukkan kepada pelajar praktikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 4:05 PM