GAMBAR yang tular di FB. FOTO ihsan pembaca
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


POLIS sedang mengesan dua kanak-kanak yang melakukan aksi lagak ngeri dengan berpaut pada bumbung kereta ketika kenderaan itu bergerak di Taman Scientax, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian dipercayai berlaku di Taman Scientax, Seri Alam.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemandu dan kanak-kanak terbabit.

“Kami meminta kerjasama mereka tampil ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Kami turut memohon kerjasama saksi kejadian atau mereka yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Seri Alam di nombor 07-3864222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Gelagat kanak-kanak itu mencuri tumpuan susulan tindakan berani mereka berpaut pada bumbung kereta ketika kenderaan itu bergerak tular di Facebook (FB).

Dua gambar memperlihatkan dua kanak-kanak duduk di belakang sebuah kereta dengan seorang daripadanya meminum air mineral.

Satu lagi gambar memperlihatkan keberanian dua kanak-kanak itu berpaut ala ‘Superman’ ketika kenderaan itu bergerak.

Netizen mempersoalkan aksi itu ia tidak sepatutnya berlaku kerana seolah-olah mempertaruhkan nyawa.

Kenderaan itu juga dilihat melanggar lampu isyarat merah ketika tiba di satu persimpangan jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 3:48 PM