MIRA Filzah. FOTO Blackpepper
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

TIDAK pernah berasa selesa dengan limpahan populariti yang diterimanya membuatkan pelakon jelita ini terus kekal utuh.

Malah aktres jelita bernama Mira Filzah ini sentiasa mempersoalkan apa lagi kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan kehadirannya terus dipandang dan dihargai.

“Jangan sekali-kali berasa diri sudah cukup bagus. Itu adalah kunci yang saya pegang untuk elak terleka atau terperangkap dalam ruang selesa.

“Saya akan sentiasa perbaiki diri dari semasa ke semasa. Mengikuti kelas lakonan adalah satu cara saya untuk memantapkan mutu persembahan.

“Selain itu, memandangkan ini zaman media sosial, maka gunalah platform itu dengan sebaik mungkin supaya dapat beri manfaat kepada semua,” katanya.

Tambah Mira, dia juga sanggup mencari masa berguru dengan pelakon berpengalaman seperti Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud.

Katanya, inisiatif itu diambil selepas melihat ramai anak seni berbakat besar tidak jemu belajar dan menggali ilmu dalam usaha menjadi bintang bermutu.

“Setiap kali mahu memulakan penggambaran terutama membabitkan watak berat, saya akan cari guru supaya dapat memahami karakter dengan lebih baik.

“Memang sesetengah produksi menyediakan guru lakonan tetapi sebagai pelakon kita juga harus mengambil inisiatif jika mahu lakonan diingati ramai.

“Lakonan saya masih banyak kekurangan dan saya takut tidak mampu memenuhi kehendak pengarah. Bagaimanapun apabila berguru dengan mereka yang berpengalaman, saya jadi lebih yakin,” katanya.


MIRA Filzah bersama Remy Ishak . FOTO Blackpepper

Sangkar cabar Mira

Menyentuh pembabitannya dalam filem Sangkar, Mira mengakui berdebar menanti maklum balas penonton pada 29 Ogos nanti.

Mira berkata, menerusi filem yang mengetengahkan sukan seni mempertahankan diri campuran (MAA) itu, dia membawakan watak Liya, adik kepada Johan lakonan Remy Ishak.

“Walau tidak terbabit dengan babak lasak, saya kena buat persediaan dari segi emosi kerana watak Liya ada cabaran tersendiri.

“Tambahan pula, bergandingan dengan bintang berpengalaman seperti Remy dan Zul Ariffin buat pertama kalinya, saya perlu pastikan diri benar-benar bersedia sebelum memasuki set.

“Seperkara lagi, filem ini tidak saja memaparkan adegan pertempuran di gelanggang semata-mata tetapi ada nilai murni seperti kekeluargaan, agama, persahabatan dan cinta sebagai pengajaran,” katanya yang seronok bekerja dengan pengarah Kabir Bhatia dalam naskhah itu.

Filem Sangkar adalah pertemuan pertama Mira bersama Remy sebelum mereka bergandingan dalam drama bersiri yang berjaya mencetuskan fenomena iaitu Pujaan Hati Kanda.

Bagaimanapun, Mira menjelaskan dia bersetuju dengan pandangan Remy yang tidak mahu terlalu kerap bergandingan dengannya sebaliknya mengambil pendekatan untuk berehat seketika.

“Ada betulnya apa yang Remy cakap sebelum ini. Saya pun tak mahu terlalu kerap sangat bergandingan dengan Remy. Saya nak cuba bekerjasama dengan pelakon lain pada masa mendatang.

“Bukan soal rimas kerana sering dikaitkan tetapi peminat juga pasti inginkan kelainan. Soal dikaitkan itu sudah menjadi lumrah bagi pelakon yang masih solo. Jadi, saya tak kesah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:30 AM