ALBUM terbaharu Ed tampilkan kerjasama dengan beberapa nama hebat dalam dunia muzik
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


KEJAYAAN global diraih Ed Sheeran sememangnya sangat luar biasa. Penyanyi dan komposer popular dunia dari Britain ini membuktikan legasinya terus kukuh sebagai pemuzik terbaik era ini.

Ed, 28, semakin gah mengatur kerjaya seninya dengan pencapaian demi pencapaian yang hebat. Rata-rata penyanyi dan pemuzik lain di seluruh dunia ingin bekerja dengannya.

Tampil melancarkan album baharu berjudul No 6 Collaborations Project, penyanyi yang popular dengan lagu Perfect ini seakan-akan membawa mesej tiada apa yang mustahil buatnya.

Ini kerana album itu menyaksikan dia bekerjasama dengan nama hebat seperti Bruno Mars, Justin Bieber, Eminem, Khalid, Cardi B, Camila Cabello dan ramai lagi ‘jatuh’ dalam genggamannya.

Ed dalam satu temu bual berkata, kerjasama dengan semua penyanyi terbabit bukan ada niat tersembunyi, sebaliknya dia menyifatkan kerjasama itu pertolongan daripada rakan dalam industri muzik.

“Apabila saya menghasilkan album ini, saya tidak terfikir untuk bermegah. Saya cuma lakukan ini untuk mendapat keseronokan sebagaimana saya buat lagu selama ini.

“Saya juga ingin bekerjasama dengan rakan yang bagi saya sangat membanggakan. Sama juga dengan album ini apabila saya perlukan pertolongan daripada penyanyi dan pemuzik hebat lain untuk album lebih baik,” katanya.

Sememangnya ramai penyanyi mahu bekerjasama dengan Bruno yang diiktiraf sebagai antara penyanyi terhebat dunia.


SINGLE dengan Justin Bieber berjudul I Don’t Care juga menjadi lagu kedua paling tinggi penstriman di Spotify di seluruh dunia.

Bagi Ed, penantian itu sudah berakhir apabila bekerjasama menerusi lagu Blow.

Ternyata gabungan dua raja pop itu bukan calang-calang apabila masing-masing memiliki reputasi hebat.

Menurut Ed, kerjasamanya dengan Bruno serta Chris Stapleton untuk lagu itu berada di tahap lain.

“Saya sentiasa mengimpikan untuk bermain dalam band. Akhirnya saya dapat rasakan pengalaman itu sendiri apabila Bruno dan Chris tampil dengan melodi yang sangat luar biasa.

“Lagu itu tentu sekali sebuah karya yang berada di tahap lebih tinggi buat saya. Saya pasti ia juga akan luar biasa apabila dipersembahkan secara langsung nanti,” katanya.

Seiring kematangan transisi muziknya, Ed turut menekankan dia kini perlu bijak bermain pelbagai sisi untuk lagunya. Contohnya lagu berkisar cinta yang baginya banyak yang boleh diteroka untuk mewarnakan lagi karyanya.

“Untuk mendapat sisi tepat buat sesebuah lagu, bukan sekadar mengikut apa yang kita rasakan betul. Selepas menulis lagu Thinking Out Loud dan Perfect, lebih banyak sisi lagu mengenai cinta yang saya berjaya terokai.

“Pada pandangan saya, banyak turun naiknya dalam sesebuah lagu itu. Saya bersyukur isteri lebih suka mendengar karya cinta terbaharu saya dan menyukai setiap mesejnya,” katanya.

BERUBAH SELEPAS KAHWIN DENGAN CHERRY SEABORN

Menyentuh mengenai hal peribadinya, Ed bersyukur kehidupannya berubah sepenuhnya apabila berkahwin dengan Cherry Seaborn. Menurutnya, dia masih tidak sangka jodoh mereka terus berpanjangan.

“Setiap kali bangun tidur, saya terus bertanya kepadanya mengapa dia masih ada bersama saya? Mana tidak, selepas apa yang kami lalui bersama dan mungkin saya pernah lakukan kesilapan, dia tetap di sisi.


Berubah selepas kahwin dengan Cherry Seaborn

“Perasaan itu sangat luar biasa disebabkan dia mahu bersama saya bukan disebabkan status saya. Saya tidak mahu mensia-siakan kemanisan hubungan kami walaupun hakikatnya kini sibuk dengan konsert jelajah,” katanya.

Dalam pada itu, album baharunya juga mencatat pencapaian membanggakan walaupun baru dilancarkan. Terkini, Ed mencipta rekod baharu menjadi artis paling banyak didengari iaitu lebih 69 juta pendengar bulanan di platform penstriman muzik Spotify.

Terdahulu, Ed pernah mencipta rekod penstriman tertinggi untuk album di Spotify menerusi albumnya ~. Album terbabit mendapat 56 juta penstriman pada hari pertama dilancarkan menerusi Spotify.

Tidak ketinggalan, lagu Shape of You yang turut dimuatkan dalam album terbabit mencipta rekod lagu paling tinggi penstriman dalam sehari iaitu lebih 10 juta.

Kejayaan itu turut diulangi menerusi album No. 6 Collaborations Project apabila lima lagunya termasuk dalam Top 10 penstriman tertinggi sebaik dilancarkan.

Single kerjasama bersama Justin Bieber berjudul I Don’t Care juga menjadi lagu kedua paling tinggi penstriman di Spotify di seluruh dunia selepas dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 6:01 AM