GAMBAR Hiasan.
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Laporan The State of World Fisheries and Aquaculture (SOFIA) 2018 yang merekodkan Vietnam tersenarai di kedudukan 10 negara teratas pengeluar sumber hasil laut terbesar dunia menimbulkan kemusykilan sedangkan diketahui umum negara terbabit sudah pupus sumber laut.

Menurut laporan yang dikeluarkan dua tahun sekali itu, Vietnam menduduki tangga kelapan mendahului tiga anak tangga daripada Malaysia di tangga ke-11.

Laporan dikeluarkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu mendedahkan, jumlah pengeluaran hasil perikanan Vietnam semakin meningkat saban tahun daripada 2,081,551 tan metrik sepanjang tempoh antara 2005 hingga 2014 kepada 2,678,406 tan metrik pada 2016.

Malah, keupayaan risiko aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (IUU) dari segi memantau, mengawal dan mengawasi (MCS) bagi 84 negara pula menunjukkan Vietnam lemah dalam aspek itu.

Kajian dilakukan pakar dan konsultan perikanan bebas Dr Pramod Ganapathiraju itu mendedahkan, Vietnam menerima skor kosong dalam aspek menghalang nelayan daripada melakukan IUU, malah mereka tidak dapat mengenal pasti ke mana setiap kapal penangkap ikan pergi.

Mengulas kedua-dua laporan itu, Ketua Program Tadbir Urus Lautan, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat berkata, tidak mustahil sumber laut diperoleh Vietnam itu adalah hasil aktiviti perikanan IUU.

“Pada pandangan saya, berdasarkan kepada kedua-dua laporan itu, Vietnam sendiri menghadapi kekurangan stok perikanan antaranya akibat pencerobohan nelayan China di bahagian utara selain kerakusan mereka menggunakan peralatan yang memusnahkan ekosistem perairan mereka.

“Tetapi, melihat kepada kekerapan kes nelayan Vietnam ditangkap di perairan negara jiran termasuk Malaysia boleh dianggap bahawa sebahagian besar tangkapan itu adalah hasil daripada aktiviti penangkapan ikan IUU.

“Malah, kepincangan dan kelemahan dalam mekanisme MCS ke atas kapal nelayan di negara itu juga mungkin menjadi satu faktor kepada jumlah tangkapan besar melebihi anggaran stok perikanan di kawasan negara itu,” katanya.

Menurutnya, IUU boleh juga boleh berlaku di negara lain termasuk Malaysia sendiri sekiranya nelayan negara ini melakukan kesalahan yang mengganggu pengurusan mampan perikanan yang menjurus kepada kepupusan hasil laut.

“Kesalahan ini termasuk menyewakan lesen (alibaba) bot kepada nelayan asing. Ia juga boleh berlaku apabila keseluruhan kru kapal adalah nelayan asing terutama laut dalam yang perlu keluar berhari-hari.

“Ada ikan yang ditangkap di perairan kita tidak didaratkan di negara kita. Ada makluman dalam kalangan nelayan tempatan, bot nelayan ini keluar dari kawasan zon ekonomi eksklusif (EEZ) negara di mana ada kapal induk dari negara asing (Vietnam selalunya menanti).

“Semua hasil tangkapan dimuatkan ke kapal induk dan bot Malaysia ini balik ke perairan kita dan kembali ke jeti dengan melaporkan tangkapan tidak banyak,” katanya.

Oleh itu, katanya, Malaysia perlu ada keberanian dan kekuatan fizikal termasuk aset mencukupi untuk memerangi sebarang aktiviti penangkapan ikan IUU bagi memastikan kemampanan sumber hasil laut.

“Agensi penguatkuasaan kita perlu lebih diperkasakan dari segi aset dan belanja operasi yang lebih besar dan mencukupi untuk memperkukuhkan usaha MCS aktiviti yang berlaku di perairan negara termasuk di kawasan EEZ,” katanya.

Jelasnya, semua negara harus mencontohi keberanian Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan syarat pengeksport bebas IUU serta Indonesia yang tegas dalam menangani isu salah laku perikanan termasuk pencerobohan nelayan asing.

“EU apabila hendak beli ikan mereka akan minta pengesahan dan maklumat hasil laut itu sumber dari mana dan jika didapati daripada aktiviti IUU mereka akan kenakan kad kuning membawa maksud negara itu tidak boleh eksport ikan ke negara di bawah EU.

“Setakat ini, hanya EU yang mengenakan sekatan pasaran kepada negara yang praktik IUU. Kalau boleh semua negara menuruti jejak langkah EU barulah IUU itu boleh dibanteras sepenuhnya.

“Jika Malaysia serius mahu mengatasi masalah perikanan secara haram ini dan mempertahankan sumber asli perikanan negara, kita perlu berubah menjadi lebih berani seperti mana jiran kita Indonesia.

“Selagi kita masih teguh terikat dengan semangat Asean yang mementingkan toleransi dengan negara jiran dan bersikap kurang tegas, selagi itulah kita tidak akan dapat memerangi perikanan IUU dan seterusnya tidak dapat menyelamatkan sumber asli laut kita dari dicerobohi pihak luar,” katanya.

Laporan eksklusif Harian Metro secara bersiri sebelum ini mendedahkan wujud komplot mencuri hasil sumber laut negara melalui kegiatan bot klon dan lesen alibaba.

Kegiatan yang berleluasa sejak beberapa tahun lalu dikatakan kebal undang-undang Malaysia dengan bantuan dalang rakyat Vietnam yang menetap di negara ini serta ‘orang dalam’ pihak berkuasa sendiri.

Pendedahan itu turut mendapat perhatian Dewan Rakyat yang seterusnya meluluskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019, minggu lalu.

Susulan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta diberikan masa tiga bulan dalam merangka polisi baru yang lebih menyeluruh menyelesaikan segala isu permasalahan berkaitan perikanan yang turut menyentuh penguatkuasaan dilakukan terhadap nelayan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 5:35 AM