Mawar memberi pesanan kepada Wan Maryam ketika program Door to Door Ebit Lew serta yang disiarkan secara langsung di Facebook Live di Fan Page pendakwah terbabit, malam ini.
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


“KEPADA Maryam, kalau saya tiada, jagalah amalan...sebagai orang Islam. Saya harap Maryam bahagia, jaga diri baik-baik, jaga solat itu yang penting.

“Walaupun apa yang jadi pada mak dan bapa, mak dan bapa terlalu sayang dekat awak, Maryam.

"Apa yang berlaku bukan saya dan Fizo yang minta. Semua berlaku ada sebab. Apa pun, kasih sayang Maryam tak pernah kurang, Insya-Allah,” pesanan penuh sebak Mawar Abdul Karim, 30, buat anaknya, Wan Maryam, 2.

Bekas isteri kepada pelakon dan usahawan, Fizo Omar, 34, itu ditanya pendakwah Ustaz Ebit Lew mengenai pesanan terakhir buat anaknya jika hari ini menjadi hari terakhir hidupnya di dunia.

Ia adalah sebahagian daripada pengisian majlis tazkirah yang diadakan di kediaman keluarga Mawar dan dikongsi Ebit Lew menerusi program Door to Door Ebit Lew serta yang disiarkan secara langsung di Facebook Live di Fan Page beliau, malam ini.

Majlis yang turut dihadiri ahli keluarga usahawan tudung dan beberapa pekerjanya, Ebit berkongsi mengenai ujian dan cara mendidik hati daripada terus bersangka buruk.

“Kena belajar memaafkan dan ‘putihkan’ hati. Kalau hari ini hari terakhir, selagi hidup kita kena ada semangat untuk berjuang.

“Tapi kalau hari ini hari terakhir kita hidup di dunia, kita kena berasa gembira apabila sampai ajal sebab dapat bertemu Allah,” kongsi Ebit Lew.

Beliau turut berkongsi agar sentiasalah mengadu kepada Allah melalui doa kerana ia boleh menjadi ‘asbab’ kepada kebaikan semua.

Mawar menganggap perceraiannya adalah satu ujian dan menyedari turut berbuat silap dan perlu muhasabah diri.

“Saya kena teruskan kehidupan dan pasti Allah itu tidak zalim dan Dia Maha Adil. Pasti ada yang terbaik untuk saya pada masa depan.

“Saya cuba terbaik, apa pun saya nak perbetulkan diri sendiri dan utamanya nak dekatkan diri dengan Allah.

“Saya memang akui sentiasa mengadu pada Allah, tak perlu mengadu pada orang lain. Saya akui saya pun ada salah sebelum ini tetapi yang penting ialah yang nak berubah adalah saya sendiri dan minta doa pada Allah saja,” luah Mawar.

Fizo dan Mawar bernikah pada November 2013 tetapi mereka sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 9 Julai lalu.

Permohonan cerai itu dibuat Mawar mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 5 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 11:46 PM