Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


KECEKAPAN menyusun kiub rubik menggunakan kaki kelebihan dimiliki Lim Hung, 11 yang mengharumkan nama negara selepas meraih gelaran juara dalam Kejohanan Persatuan Kiub Dunia (WCA) Peringkat Dunia di Melbourne, Australia, 11 Julai lalu.

Lim menewaskan 59 peserta dari 21 negara dalam kategori 3x3x3 dengan catatan masa 23.29 saat (purata) dan 17.10 saat (individu).

Kejayaan itu sekali gus meletakkan Lim di kedudukan nombor dua di peringkat dunia berbanding tempat keenam sebelum menyertai kejohanan berkenaan.

Dia membawa pulang AUD400 (kira-kira RM1,160) pada majlis penyampaian hadiah di Melbourne Convention Centre, Melbourne, Ahad lalu.

Berkongsi perasaannya, Lim berkata, dia gembira dengan kemenangan itu walaupun tidak menyangka dapat menewaskan peserta lain terutama dua pesaing terdekat yang menduduki tempat kedua dan ketiga.

Menceritakan latar belakangnya, Lim berkata, minat bermain kiub Rubik timbul ketika berumur sembilan tahun iaitu selepas menonton video di Youtube.

“Saya rasa bertuah kerana ibu dan ayah banyak memberi galakan untuk menyertai kejohanan jadi saya mendapat pendedahan walaupun beberapa kali tewas ketika awal pembabitan.

“Sewaktu masih amatur, saya menggunakan tangan tetapi nekad mempelajari kemahiran menyusun kiub Rubik dengan kaki selepas melihat ada peserta melakukannya di sebuah kejohanan.

“Bagi menguasai kemahiran itu, saya berlatih setiap hari dan mengambil masa selama dua bulan untuk mahir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di SS2, di Petaling Jaya.

Menurut Lim, tujuannya menguasai kemahiran bermain dengan kaki adalah untuk menyusun kiub rubik dalam tempoh singkat sekali gus memperbaiki catatan masa.

“Bukan setiap masa saya menggunakan kaki sebaliknya dalam kejohanan tertentu saja.

“Banyak pengalaman ditimba sepanjang aktif dalam permainan itu tetapi saya tidak mahu terlalu selesa walaupun sudah meraih pelbagai kejayaan kerana sasaran sebenar saya adalah mendapat kedudukan pertama di peringkat dunia,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Joyce Peh, 44 akan terus memberi galakan untuk anak tunggalnya meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Saya dan suami, CK Lim, 45 sepakat memberinya sokongan selepas menyedari minatnya terhadap permainan berkenaan.

“Malah, kami sentiasa menemaninya ketika menyertai pertandingan di dalam mahupun luar negara.

“Sebagai ibu, saya bukan hanya bangga dengan kejayaannya tetapi juga sikapnya yang rendah diri. Saya harap dia kekal seperti itu walaupun sudah berjaya dikenali ramai satu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:00 PM
AKSI Lim menyelesaikan kiub rubik dengan kaki.