Pemandangan udara menunjukkan lapisan minyak dan bau busuk yang dikesan di muara Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, baru-baru ini. FOTO Ihsan Jabatan Laut Wilayah Selatan
Ibrahim Isa
Ibrahim@hmetro.com.my


SERAMAI 39 murid dan pelajar dari lima sekolah di sekitar Pasir Gudang mengalami simptom muntah dan sesak nafas, pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan Dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, lima sekolah itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort (30 murid), SK Kopok (6 murid), SK Kota Masa (1 murid), SK Pasir Gudang 4 (1 murid) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort (1 pelajar).

Menurutnya, sehingga 2 petang tadi, 39 mangsa itu mengalami simptom sesak nafas dan muntah.

Katanya, semua mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai.

“Bagaimanapun, tiada pelajar yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan susulan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor sudah mengambil sampel air kencing semua mangsa untuk dianalisis bagi mengesan bahan yang menyebabkan mereka mengalami simptom sesak nafas dan muntah-muntah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah memandang ringan kes yang berlaku di Pasir Gudang seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Sehingga hari ini agensi berkaitan sentiasa memantau dari masa ke semasa, termasuk pemantauan berterusan kualiti udara di Pasir Gudang.

“Malah, saya dimaklumkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memberikan ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar terutama di Pasir Gudang,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 9:57 PM